16 January 2010

Kita Bukan Seorang...



SETIAP dari kita pasti diuji. Ujian tidak semestinya dalam bentuk kesusahan, kepayahan ataupun kesakitan. Kadangkala dengan nikmat kesenangan juga adalah ujian yang tuhan mahu turunkan kepada hambanya.

Berbagai-berbagai ragam manusia dapat dilihat apabila ditimpa dengan sesuatu ujian ataupun dugaan. Terdapat sesetengah daripada kita yang merasakan bahawa tuhan sudah tidak lagi sayang pada hambanya apabila ujian itu diberikan. Ada juga yang berpendapat bahawa tuhan tidak berlaku adil kerana menurunkan sesuatu ujian, bala dan cabaran kepada hambanya.

Namun, adakah kita tidak sedar bahawa setiap apa yang berlaku itu ada sesuatu yang cuba tuhan beritahu dan sampaikan. Tuhan mahu melihat bagaimanakah umat manusia yang mengaku beriman pada qada dan qadar mendepani setiap ujian itu. Adakah mereka ini redha dengan apa yang tuhan berikan. Sejauhmanakah tahap kesabaran kita.


Bagi yang sedang dalam alam pengajian pula. Tidak kira di alam persekolahan ataupun peringkat universiti. Pasti kita akan berhadapan dengan musim peperiksaan. Kebanyakan kita pasti akan berasa tertekan apabila tiba saja musim peperiksaan. Itu lumrah. Hebat mana pun kita, perasaan gementar dan takut apabila menjelang hari peperiksaan pasti ada. Tidak banyak, sedikit pasti ada.

Namun, sebagai manusia yang tahu bahawa setiap apa yang kita lakukan ini sentiasa diperhatikan dan diaturjalurkan oleh ALLAH, kita seharusnya lebih yakin bahawa kita tidak pernah keseorangan. Disamping kita ada ALLAH. Mohonlah padaNYA. Kita telah berusaha. maka, berdoa lantas bertawakallah. InsyaALLAH kejayaan pasti bersama kita.

Jadilah kita manusia yang sentiasa memuhasabah diri sendiri. Muhasabah untuk menjadikan kita manusia yang lebih baik dari sebelumnya.

p/s: Bagi yang sedang menghadapi ujian tidak kira apa jua ujian sama ada dugaan, masalah ataupun peperiksaan. Saya doakan anda semua berjaya mendepaninya. Ingatlah, sesungguhnya kita tidak pernah keseorangan.
Continue Reading...

06 January 2010

Masalah bukan penghalang



HARI ini ramai yang mengeluh dek kerana masalah yang sering sahaja menimpa diri. Kadang-kadang pada ketika kita punya matlamat penting untuk dicapai di kala itu jugalah masalah ini tiba. Besar atau kecil, banyak atau sedikit masalah ini bergantung pada sejauhmana kita mendepaninya.

Kalau kita menganggap masalah itu sebagai bebanan dan penghalang pada cita-cita, maka sudah tentu itulah natijahnya. Namun, seandainya kita menganggap masalah itu sebagai warna-warni dan asam garam kehidupan sudah tentu kita akan lebih tegar menghadapinya.


Di sini saya ingin kongsikan beberapa tips untuk kita berhadapan dengan setiap masalah yang dihadapi.

1) Kenal pasti masalah kita yang sebenar.
2) Tetapkan matlamat. Matlamat itu haruslah sesuatu yang spesifik, mampu dicapai dan realistik.
3) Cari langkah-langkah penyelesaian. Tulis pada satu kertas kosong. Catat segala perkara, langkah dan alternatif yang perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah tersebut. Gunakan kreativiti berfikir untuk mencari langkah penyelesaian terbaik walaupun langkah tersebuh dilihat agak mustahil.
4) Catatkan kebaikan dan keburukan pada setiap pilihan langkah-langkah dan alternatif penyelesaian yang telah ditulis.
5) Buat pilihan. Contohnya kalau kita ada 3 pilihan langkah penyelesaian, pilih satu sahaja. Tetapkan kadar waktu atau time limit untuk kita pastikan langkah tersebut berhasil.
6) Laksanakan pilihan yag telah dibuat.
7) Penilaian. Nilai semula sama ada langkah tersebut berjaya atau pun tidak. Seandainya berhasil, ucapkanlah tahniah dan beri ganjaran pada diri sendiri.

Segala apa yang tertulis ini hanyalah setitis usaha untuk kita mencari jalan penyelesaian setiap masalah yang kita hadapi. Sentiasalah berfikiran positif.

Tiada pantai yang tidak pernah dipukul ombak, tiada kapal yang tidak pernah dilambung gelora. Begitu jugalah kita manusia, tiada yang tidak pernah ditimpa masalah.


Anggaplah tuhan sebenarnya mahu mengajar kita erti kesabaran pada setiap cubaan yang mendatang. Ceriakan hidup kita dengan seyuman. Usah biarkan dunia yang indah langit yang cerah menjadi suram hanya kerana kegagalan kita melihat masalah dari kacamata yang sihat. Semoga beroleh manfaat bersama.
Continue Reading...
 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template