19 April 2010

Bukan aib kalau mencuba




HARI ini saya berbangga kerana ada anak melayu yang mampu dan berjaya menawan puncak Everest. Ada juga anak melayu yang mampu meredah lautan mengelilingi dunia. Namun kita bagaimana? Adakah kita berbangga kerana menjadi rakyat Malaysia yang punya rakyat sedemikian rupa sedangkan diri kita sendiri tiada apa-apa sumbangan pada nama negara.

Setiap daripada kita punya kelebihan. Tuhan itu maha adil. Tidak bermakna mereka yang berjaya dalam pelajaran akan senang dan dikategorikan sebagai insan yang berjaya. Itu tidak adil. Berapa ramai mereka yang berjaya dalam akademik tetapi sahsiah dan kehidupan mereka sebenarnya gagal. Berjaya atau gagal teletak pada sejauhmana kesungguhan dan keberanian kita untuk mencapai sesuatu yang diimpikan. Bukan apa, kadang-kadang dalam kita hidup ini, terdapat mereka yang sibuk memperlekehkan sesuatu yang kawan mereka lakukan sedangkan mereka hanya berpeluk tubuh tidak melakukan sesuatu.

Justeru bagaimana mahu mencari kelebihan yang ada pada diri kita? Jawapannya sudah tentulah kita harus berani mencuba. Berani untuk gagal. Hanya orang yang berani untuk gagal adalah mereka yang akan mencapai kejayaan suatu masa nanti. Kalau kita sentiasa berada dalam zon ketakutan untuk menghadapi sesuatu kegagalan, selagi itulah kita tidak akan mencapai kejayaan.

Thomas Edison telah mencuba 10 ribu kali untuk memastikan mentolnya menyala. Benjamin Franklin pula mengatakan bahawa beliau tidak pernah gagal dalam hidupnya. Bagi beliau apabila sesuatu yang diusahakan itu tidak tercapai, itu bukan gagal namanya tetapi itu adalah 100 jalan untuk mencapai sesuatu kejayaan.

Di sini saya bawakan perumpamaan yang mudah. Kita sering melihat rancangan-rancangan hiburan di kaca tevisyen. Barangkali rancangan yang memaparkan temuduga untuk mereka yang berminat untuk menjadi artis seperti mentor, akademi fantasia dan sebagainya. Apa yang peliknya di sini. Kalau kita pandang dari sudut positifnya untuk mencapai sesuatu kejayaan dalam hidup. Setiap daripada peserta itu pastinya telah punya target dan memasang impian yang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Mereka barangkali telah memasang cita-cita dan angan-angan andai mereka berjaya dalam sesi temuduga itu, mereka akan jadi senang boleh membantu keluarga, rakan-rakan dan sebagainya.

Namun yang menjadi budaya kita sebagai orang melayu ini adalah kita mudah berasa tidak senang hati melihat kejayaan orang lain. Mulut kita lebih ringan untuk mengutuk mereka yang terlibat dalam usaha baik ini. Kononnya sudah tiada bakat, buat apa mencuba, buat malu saja. Kalau peserta bertindak sumbang sedikit, habis digelakkan orang tu. Bukan gelak sahaja barangkali tergolek-golek lagi. Haih. Macamlah orang yang menggelakkan terbahak-bahak itu pandai dan terror sangat menyanyi.

Kita ini hidup usah terlalu mencari kesilapan dan kesalahan orang lain. Apa ingat kita ini dah bagus sangat. Sekurang-kurangnya mereka yang menjadi peserta itu berani untuk tampil ke hadapan menyerlahkan bakat mereka. Mungkin kali ini mereka tidak berjaya. Namun dengan sikap mereka yang berani mencuba ini akan memastikan mereka akan berjaya kelak walaupun bukan dalam bidang yang mereka cuba itu, tetapi juga bidang-bidang lain.

Tapi kita yang menggelakkan bagaimana? Cuma sekadar mencuba pun tidak mampu. Kerana apa? Hanya kerana sikap malu untuk menyerlahkan kebolehan yang mungkin selama ini telah ada dalam diri, tapi tidak pernah kita sedar.

Justeru, mulai hari ini. Berhentilah kita dari sibuk mempertikaikan kerja dan hal orang lain. Macam lah kita ini bagus dan hebat sangat. Kalau setakat nak memberi nasihat dan teguran dengan cara berhikmah itu tidak mengapa. Memang disuruh dan disarankan lagi. Tapi ini bagi yang menegur dengan cara yang menyakitkan hati sesetengah pihak malah memalukan lagi.

Jadilah kita manusia yang berani. Manusia yang bijak dalam menegur juga manusia yang bijak apabila ditegur. Kita semua pandai dan hebat. Jangan sibuk melihat cantiknya hidung orang lain sedang hidung sendiri lagi menawan tidak pernah kita sedar dan lihat.. sekian.

0 comments:

 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template