22 April 2010

Antara yakin & percaya



TUHAN kurniakan kita akal untuk berfikir dan terus berfikir. Kehidupan yang menjanjikan seribu satu keindahan ini kalau tidak diperhatikan dan diselami degan betul kelak akan membawa rosak binasa. Sebab itulah setiap apa yang kita lakukan perlunya di sana suatu penelitian dan pemikiran yang benar-benar masak supaya tidak menyesal kemudian hari.

Setiap masa kita berhadapan dengan pelbagai ragam manusia. Kata-kata dan tingkah laku juga berbeza mengikut tahap pemikiran dan pergaulan mereka. Kadang-kadang dari perbualan dan bicara mulut sahaja kita sudah boleh menilai siapakah mereka ini. Namun, ianya tidak selalunya benar. Kebiasaannya begitu. Kerana tidak adil juga untuk kita menilai seseorang hanya pada kata-kata.

Apa yang saya cuba kongsi di sini adalah, usah mudah terpedaya dan percaya hanya pada kata-kata seseorang kalau belum benar terbukti sesuatu. Kadang-kadang kata-kata orang manis bicara tetapi apabila minta dilaksanakan tak tentu jadinya. Hatta saya yang menulis ini juga belum tentu anda boleh percaya kerana saya juga manusia biasa, banyak salah dan silap.


Kalau kita bertanya siapakah manusia yang paling dipercayai di dunia ini. Saya yakin kebanyakan daripada kita akan menjawab ayah dan ibu. Mengapa ya? Jawapannya sudah tentulah kerana kita telah bersama mereka sejak dari kecil lagi, suatu jangka masa yang bukannya singkat tetapi cukup lama. Ini bererti pengalaman merupakan suatu yang penting untuk dijadikan garis panduan dalam bertindak.

Justeru, untuk mempercayai seseorang dan setiap sesuatu bukannya mudah. Kita perlukan masa, ruang dan waktu. Kadang-kadang dengan melihat persekitaran, cara hidup dan melalui perbandingan barulah kita dapat menilai dengan tepat dan benar.


Sebab itu jugalah dalam perbicaraan ilmu ketuhanan bukan mudah untuk kita memaksa seseorang untuk percaya pada sesuatu, kerana apabila ianya melibatkan hal-hal yang berat seperti ini pastinya setiap seseorang itu akan berfikir berkali-kali barangkali bertahun lamanya sebelum melakukan setiap keputusan.

Akhir sekali, percayalah pada setiap tindakan yang kita lakukan. Setiap sesuatu yang tuhan kurniakan kepada kita hambanya tidak kira berupa kegembiraan, kebahagiaan atau mungkin juga kesedihan dan kedukaan pasti itu yang terbaik buat diri kita.

Barangkali dengan kesedihan dan kedukaan yang kita terima sekarang akan menjadikan kita sentiasa beringat bahawa langit tak selalunya cerah bersinar, adakalanya mendung dan hujan. Setiap kebahagiaan dan kegembiraan yang kita peroleh sekarang mungkin juga suatu ingatan buat kita supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan kerana sesungguhnya kita sentiasa diperhatikan. Andai tersilap sedikit, kegembiraan itu boleh jadi hilang.

0 comments:

 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template