15 January 2009

Putaran Masa-Esok Lambat Lagi



SANG rembulan penuh menampakkan dirinya. Malam hari kian menjelang. Meninggalkan siang berlalu tanpa ada tangguh walau sedikit pun. Esok pastinya menjanjikan suatu yang lebih bermakna. Tapi, apakah esok masih ada untuk manusia?


Manusia sibuk dengan urusan harian seolah-olah akan hidup selama-lamanya. Perubahan dilakukan satu demi satu. Tidak kurang juga dengan kerosakan dan pembinasaan alam. Kemusnahan untuk mencapai lebih kemajuan. Kesungguhan dan kerakusan manusia bekerja terbukti di mana-mana. Bangunan tinggi pencakar langit tidak perlu dihitung lagi. Memang benar. Kesungguhan yang kayak gitu tidak salah. Untuk mencapai sesuatu kemajuan memerlukan kesungguhan dan pengorbanan yang tiada tolok bandingan.


Seringkali manusia mengeluh. Kecewa kerana tidak punya kesempatan untuk melaksanakan setiap yang dirancang dengan berjaya dalam ruang masa yang ditetapkan. Setiap yang dilakukan tidak dapat memuaskan semua pihak. Banyak yang masih belum terberes sedangkan masih ada lagi urusan menimbun yang perlu diselesaikan.


Mahu salahkan waktu? Waktu yang begitu zalim terus berlalu dan pergi. Ia bergerak tanpa mahu menunggu manusia walau sesaat pun. Ah, saya tidak mahu menjawabnya. Tapi yang pasti mahukah masa dan waktu menunggu manusia? Manusia yang sering lalai dan alpa dengan kesibukan dunia. Dunia yang andai terus dikejar pasti tidak ada yang cukup. Habis satu, pasti yang lain akan menanti. Bukankah itu lumrah kehidupan di dunia ini.


"Kadangkala saya terfikir. Bolehkah manusia memutarkan waktu sesuka hati seperti memutar jam. Jika mahu dilambatkan maka dilewatkan. Andai mahu dipercepatkan maka segera dipantaskan. Tapi yang pasti itu semua hanya khayalan kosong sahaja."


Manusia memang tidak punya apa kudrat untuk melaksanakan sebegitu rupa. Khayalan kosong yang andai dilayan memang tidak ada guna apa pun. Sehelai kertas dilipat-lipat mengikut cita rasa manusia. Barangkali menjadi roket pejuang, mungkin juga sampan kecil di parit, boleh jadi juga pucuk pistol. Tapi, sesungguhnya itu semua hanyalah mainan. Tidak mungkin roket mainan itu mampu terbang tinggi selamanya. Begitu juga si sampan kecil mainan kanak-kanak di parit. Lama-lama akan tenggelam jua. Itu semua hanyalah khayalan mainan fikiran.


Ya. Memang benar. Masa dan waktu memang tidak bolah diputarkan. Walau ke hadapan mahupun undur ke belakang. Ia akan terus berlalu mengikut kehendak pencipta. Manusia yang seharusnya tidak boleh tidak perlu mengikut aturan masa. Aturan masa yang kalau ditimbang balikkan memang telalu banyak ruang untuk manusia. Cuma manusia yang seringkali sia-siakan.


p/s: Saya tidak mahu salahkan masa yang sudah berlalu. Yang sudah, biarkan ia pergi. Hari esok perlu dihadapi dengan segala macam persediaan. Kekangan waktu yang kadangkala menuntut kepada kesungguhan. Manusia perlu bijak menguruskannya. Tiada apa yang mustahil untuk dilakukan walaupun ruang waktu yang masih tinggal sedikit cuma. Perjuangan perlu diteruskan. Esok lambat lagi.

2 comments:

Ami Farhani MNA on January 15, 2009 at 2:29 PM said...

Sebelum menghukum masa, elok rasanya menghukum diri sendiri. (luahan hasil kekecewaan pada diri sendiri)

Apapun termotivasi sungguh saya membaca tulisan ini:
" Tiada apa yang mustahil untuk dilakukan walaupun ruang waktu yang masih tinggal sedikit cuma. Perjuangan perlu diteruskan. Esok lambat lagi."

Terima kasih=p

Ezainy on January 16, 2009 at 12:13 PM said...

Tidak adil andai masa yang dihukum sedang manusia lena terleka. Hukumlah diri sendiri jika itu perlu

 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template