30 March 2009

“Tak usah lah nak berlagak”


ORANG suka cakap berdentam dentum. Segala apa yang mereka lakukan kalau boleh satu dunia kasi tahu. Pukul canang dari hulu ke hilir tawaf satu kampung. Padahal apa yang yang mereka ada dan yang mereka lakukan itu bukannya apa sangat. Andai setiap orang diberi kesempatan ruang masa dan peluang, pasti sahaja bisa dilakukan. Apakah mereka tidak berfikir. Kalau mereka itu hebat sangat, ramai lagi yang lebih hebat.


Nabi pernah bersabda: Tidak akan masuk neraka bagi orang yang di dalam hatinya ada sebesar biji sawi keimanan dan tidak akan masuk syurga pula bagi mereka yang di dalam hatinya ada sebesar biji sawi rasa sombong dan takbur.(Riwayat Muslim & Abu Daud)

Saya tertarik untuk memberi pendapat berkenaan isu yang diketengahkan oleh sahabat saya dalam blognya. Klik sini untuk membaca blog tersebut. Rasa ketidakpuas hatiannya kepada pelajar perubatan yang belum pun menjadi doktor tapi sudah pandai-pandai meletakkan title DR itu di depan nama mereka.


Memang tidak dinafikan itu adalah doa. Moga dengan apa yang kita tulis dan yang kita gambarkan itu benar-benar tercapai suatu masa nanti. Tapi, apakah tidak cukup selama ini doa dari ibu bapa dan kawan-kawan yang memang mengenali siapa kita? Alangkah lebih baik kalau ianya sekadar tatapan peribadi sahaja. Tulis besar-besar kemudian ambil gambar kita berlab kot dengan stethoscope dan tampal di dinding bilik. Rasanya itu sudah lebih dari memadai. Tidak perlulah diwara-warakan kepada semua orang.


Oh, saya terlupa. Ya, sudah tentulah mereka ini berbangga. Bangga kerana orang yang ada DR ini selalunya dipandang tinggi orang sekeliling, khidmat diperlukan di mana-mana, kata-kata mereka didengari nampak macam pandai. Maaf, kalau ada yang kurang senang dengan kata-kata saya ini. Tidak lebih sekadar pandangan peribadi. Sama-samalah kita perbetulkan niat dan beringat bahawa bukan kita seorang yang hebat dan power di atas muka bumi ini.


Allah berfirman : Allah tiada menyukai orang yang sombong lagi meninggi diri.
( Surah Luqman: 18).

p/s: Sebutir mutiara yang indah dan cantik kalau dicampak di malam hari jauh terpencil pelusuk mana pun, tetap akan dikejar orang kerana tinggi nilainya di mata manusia.

Continue Reading...

26 March 2009

Jangan marah ya, nanti cepat tua


"Abu Said Al-Khudri berkata Rasulullah pernah bersabda: Awasilah kamu dari sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam. Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah ia duduk, andai sedang duduk hendaklah ia berbaring."


SALAM bahagia semua. Harapnya semua tersengih memanjang kalau boleh sampai ke telinga. Eh, ada ke orang yang boleh tersengih sampai ke telinga. Kalau hendak tahu, cubalah sendiri. Manalah tahu andalah orangnya. Tidak kah anda menjadi orang paling ajaib di dunia. Ada yang sedang marah-marah? Jangan marah-marah kawan-kawan. Kalau anda marah, saya nampak wajah anda tua sangat dan kalau yang memang sudah tua lagi-lagilah tua.


Pernah nampak muka orang apabila sedang marah? Buruk bukan. Saya di mesir ini apa lagi. Negara yang memanglah terkenal dengan penduduknya yang panas baran walaupun agak peramah. Mereka pantang diusik pasti sahaja berlengan. Tidak kira lelaki mahupun perempuan. Kalau di jalan raya pula, andai terdapat sedikit perlanggaran maka tercetuslah pergaduhan yang gamaknya macam nak berbunuh. Agaknya memang benarlah kajian yang menunjukkan bahawa orang Asia barat ini berhati panas dan mudah melenting marah.


Kita marah selalunya kerana ada sesuatu kehendak yang tidak tercapai. Kita betul-betul berkehendakkan yang satu itu, tetapi akhirnya tidak tercapai maka kita naik berang. Benar bukan? Tapi, sedarkah kita bahawa tuhan tidak jadikan sesuatu itu sekadar suka-suka. Sekadar sia-sia. Sama sekali tidak. Andai tuhan tidak kurniakan sekarang, mungkin esok. Kalau tidak esok mungkin lusa, tulat, bulan depan, tahun depan dan boleh jadi di akhirat sana.


Apabila berlaku sesuatu perkara yang membuatkan kita marah sakit hati, itu sebenarnya perkara biasa. Mana ada manusia yang tidak punya sifat marah. Cuba kalau barang yang kita betul-betul sayang tiba-tiba dirembat orang, mestilah kita marah. Tetapi kalau hendak marah pun agak-agaklah. Berpada-pada, pandai-pandailah kawal, tak usah melebih-lebih.


Suatu hari datang seorang lelaki lalu memaki hamun Saidina Abu Bakar dengan cacian yang keji. Tetapi, Abu Bakar dan Rasulullah yang berada di sebelah hanya berdiam diri. Selepas itu, Abu Bakar membalas balik makian lelaki tersebut. Sebaik sahaja Abu Bakar membalas, Rasulullah pun beredar pergi. Abu Bakar pelik dan hairan lalu mengejar Rasulullah dan bertanya.


AbuBakar: Wahai rasulullah, mengapa engkau beredar sedangkan ketika lelaki itu memakiku kau hanya berdiam diri?

Rasulullah: Sesungguhnya ketika dia memakimu dan engkau diam, segala cacian itu kembali kepadanya. Tetapi, tatkala engkau membalasnya, malaikat berlalu pergi dan syaitan pun datang. Sesungguhnya aku tidak mahu duduk bersama syaitan.


p/s: Mulai hari ini jadilah kita seorang yang pemaaf. Jangan marah-marah. Siapalah kita ini hendak marah-marah. Rezeki depan mata pun Allah yang kurniakan, ada hati hendak maki-maki orang lain. Kalau kita boleh gembira, kenapa mesti marah selalu.

Continue Reading...

25 March 2009

ADUHAI, LAJUNYA KALAU CAKAP...



TERGELAK sendiri apabila mengenangkan peristiwa itu. Bukannya apa, tetapi apabila melihat kawan-kawan kita yang kalau bercakap mak datuk punyalah laju. Pantas cepat macam bas ekspres. Puas kita peka kan telinga, barulah dapat faham.


Suatu hari itu saya cuba menelefon seseorang atas urusan. Kami pun membuat temujanji. Lantas apabila saya bertanyakan jam berapa temujanjinya, dia pun mengatakan before’. Kemudian saya pun suruhlah si dia ini ulang lagi dan kata yang sama juga dia sebut. Sehinggalah akhirnya baru saya dapat menangkap kata-katanya. Nak tahu tidak apa yang dia cuba sebut? Rupa-rupanya dia hendak sebut ‘by four’.


Seorang pakar motivasi barat pernah mengutarakan pendapatnya bahawa:


“Kalau kita ingin membentuk komunikasi yang berkesan dengan sebutan yang betul, belajarlah membaca sekurang-kurangnya satu perenggan kata-kata atau apa sahaja artikel dengan sebutan dan bacaan mengikut tanda baca yang betul setiap hari.”


Kadang-kadang kita tidak perasan yang kita ini kalau cakap laju macam peluru. Maka itu cuba kita sesekali lihat bagaimana orang-orang besar kalau bertutur. Bagaimana cara Pak Lah kalau bercakap? Barrack Obama apabila berucap. Kata-kata mereka bukan sahaja berhikmah tetapi juga tersusun, kemas dan teratur. Satu persatu dan mudah difahami. Tahukah kita berapa banyak maklumat atau informasi yang tidak berjaya atau berkesan hanya kerana kegagalan kita dalam berkomunikasi.


"Kajian yang dijalankan oleh University of Pittsburgh’s Katz Business School terhadap 50000 pekerja, menunjukkan bahawa kemahiran berkomunikasi adalah salah satu daripada tiga faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan bekeja."


Kali ini saya bukannya mahu berbicara tentang cara komunikasi yang berkesan seperti eye contact, first impression atau yang lain-lainnya. Tapi, cukuplah untuk sekadar peringatan berkenaan setiap butiran kata yang keluar dari mulut kita. Ketenangan kita apabila bercakap melambangkan ketenangan kita yang sebenarnya.


p/s: Saya sebenarnya sedang mengingatkan diri sendiri yang kadang kala bercakap main hentam terabur laju macam keretapi.

Continue Reading...

19 March 2009

BOLEH KE PERUT BUNCIT JADI KEMPIS???


BERJUMPA kita lagi dalam alam maya walaupun tidak pernah bersua muka. Kalau pernah pun mungkin sekadar gambar kecil facebook yang di sebelah. Saya sering kali ditanya dengan soalan di atas. Baru-baru ini sewaktu menjalankan pemeriksaan kesihatan di Rumah Johor, soalan yang sama juga diutarakan.


“Boleh ke perut yang buncit menjadi kempis? Dan kalau boleh macam mana ya caranya.”

Saya suka berpegang pada sifir ini. Sejak dari dulu lagi. Mana ada penyakit di dunia ini yang tiada penawarnya. Ya bukan. Selagi mana kita berusaha mendapatkannya dan Allah redhai pasti ada. Orang kita terutamanya melayu sebenarnya malas. Jangan marah ya kawan-kawan semua kalau kata-kata saya ini nampak menempelak pula. Sekadar pandangan peribadi.


Ya lah mana tidaknya. Orang dahulu semasa zaman nabi dan para sahabat bergerak ke mana-mana hanya berjalan kaki dan nabi sendiri berhijrah ke Madinah pun hanya dengan menunggang unta. Tapi kita hari ini bagaimana? Naik bas pun sudah merungut panjang. Apa yang cuba diketengahkan di sini ialah kurangnya aktiviti fizikal atau pun senang cerita senaman di kalangan orang kita.


Cuba kita panjangkan leher menjengah ke negara jiran Singapura.


"Di sana setiap tepi jalan-jalan perumahan disediakan ruangan untuk pejalan kaki dan penunggang basikal."


Namun situasi itu saya kurang nampak di negara kita. Adakah kerana kerajaan kita kurang prihatin? No komen. Kalau kita mahu menuding jari memang mudah, memang senang. Tapi pandanglah pada diri sendiri, sejauhmana usaha kita selama ini. Pandangan saya kalau mahukan perut yang kempis tidak perlulah sampai memakan ubat yang kadang-kadang kita sendiri tidak pasti dari mana datangnya.


Datuk nenek moyang kita dulu pun tidak ambil ubat-ubat itu semua tapi mempunyai perut yang langsing. Kenapa? Kerana selain mengamalkan amalan gaya hidup sihat, mereka juga menjaga pemakanan. Kita hari ini kalau makan main bantai saja. Ya bukan. Bukan anda saja malah saya juga kadang-kadang begitu. Satu lagi cadangan dari saya ialah kawallah pemakanan. Kurangkan makanan yang berkolestrol tinggi dan banyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet kita. Tambahkan manis dalam senyuman.


Maka itu bagi saya pentingnya kita ini untuk sentiasa kekal dalam amalan gaya hidup sihat untuk memastikan kita sentiasa berada pada keadaan yang sihat dan ceria. Bila badan dah sihat dan ceria maka hasil kerja pun menjadi, keluarannya pasti berkualiti. Hidup hanya sekali tiada yang kedua. Gunakanlah seadanya....

Continue Reading...

15 March 2009

Bila Ibu Tadah Tangan


SELAMAT minum petang saya ucapkan. Ucapkan pada diri sendiri pula. Maklumlah baru sahaja selesai minum petang. Minum milo cecah biskut lemak. Aduh, benar-benar teringat pada kampung halaman. Pada ibu dan ayah jauh di sana. Entah apa mereka buat sekarang ya. Setiap hari saya tidak akan lupa untuk mendoakan kesejahteraan mereka. Syurga kan di bawah telapak kaki ibu. Telapak kaki ayah ada apa pula ya?


"Orang kata tangan wanita bisa menggoncang dunia. Tangan yang menghayunkan buaian boleh menggegar dunia seisinya."

Wah, seronok sakan kakak-kakak kita bila saya kata begini. Sejauhmana kesahihannya? Lelaki ibarat tangan kanan yang melakukan segala kerja utama dan wanita pula ibarat tangan kiri. Kalau tiada tangan kiri tentu saja hasil kerja tangan kanan tidak sesempurna andai dilakukan menggunakan keduanya. Ya bukan.


Kalau anak yang mendoakan ibu dan bapa insyaallah akan dimakbulkan kalau betul caranya. Asalkan doa itu yang baik-baik. Tapi bagaimana pula kalau ibu yang mendoakan kepada si anak? Masih ingat lagi kisah si Tanggang? Punyalah hebat cerita itu sampai kan boleh jadi drama bersiri lagi. Ada yang kata itu hanyalah mitos cerita dongeng orang dahulu kala nenek moyang. Tapi, apa yang boleh diambil pengajaran ialah doa ibu memang masin, kalau sekadar kata-kata yang diniatkan kepada si anak insyaallah dimakbulkan.


Teringat saya pada cerita Juraish yang siang malam beribadah di hujung kampung tempat ia tinggal. Tiga kali ibunya pergi memanggilnya namun Juraish tidak mengendahkan kerana ketika ibu datang memanggilnya dia sedang khusyuk melakukan ibadahnya. Akhirnya berdoalah si ibu


“Ya Allah, janganlah kau matikan anakku sebelum dia berjumpa dengan wanita berzina”.

Nak dipendekkan cerita, sampailah suatu hari di mana Juraish telah difitnah melakukan zina sehingga menyebabkan lahirnya bayi luar nikah. Dengan tenang, Juraish menyuruh dibawakan bayi itu kepadanya dan ditanyakan kepada bayi iti siapa bapanya yang sebenar. Maka bayi kecil itu dengan ajaibnya menjawab bapanya yang sebenar adalah si penggembala kambing yang tinggal tidak jauh dari rumah Juraish. Akhirnya Juraish pun terselamat dari fitnah besar dunia. Lihat, bagaimana besar sungguh kesan doa si ibu. Orang kuat beribadah pun boleh ditimpa dugaan sebegitu hebat, kita pula bagaimana.


Pada kaum hawa yang akan bergelar ibu pula janganlah sesuka hati melempiaskan kata-kata yang bukan-bukan. Lagi-lagi kepada si anak. Mulakan dari sekarang, hiaskan kehidupan seharian kita dengan kata-kata yang baik dan sopan supaya apa yang kita ucapkan selepas ini kelihatan berhikmah sahaja. Kata-kata ibu itu doa. Jumpa lagi...

Continue Reading...
 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template