22 December 2009

Sukar tidur?



RAMAI orang yang merungut kerana sukar untuk tidur. Telah puas mata cuba dipejamkan, namun masih tidak boleh terlelap juga. Kadang-kadang sehinggakan pening dibuatnya kepala kerana kegagalan untuk melelapkan mata. Apakah puncanya? Bagaimana langkah terbaik bagi mengatasi masalah ini?

Terdapat beberapa sebab kesukaran untuk tidur. Antaranya:

1) Tidur yang berlebihan pada waktu siang.
2) Minum minuman yang berkafein secara berlebihan.
3) Memakan makanan berat sebaik sahaja sebelum tidur.
4) Masalah harian sehingga terbawa-bawa ke tidur.
5) Gangguan luar seperti bunyi bising e.g dengkur.
6) Keadaan persekitaran seperti cuaca terlalu panas atau terlalu sejuk.

Beberapa langkah untuk mengatasinya:

1) Pastikan tidur pada waktu yang telah ditetapkan.
2) Jauhi minuman berkafein seperti kopi atau teh pada waktu malam.
3) Tetapkan waktu yang sesuai untuk bangun pagi.
4) Berlatih untuk tidur dengan teratur setiap malam.
5) Pastikan tempat tidur adalah selesa (tidak terlalu sejuk atau terlalu panas)
6) Membaca adalah lebih baik daripada menonton televisyen.
7) Masalah sukar untuk tidur adalah masalah yang kerapkali berlaku. Oleh itu, cuba tidur hanya jika benar-benar mengantuk.
8)Terdapat juga sesetengah yang mengambil ubat tidur seperti alprazolam, clonazepam, midazolam dan banyak lagi. Pastikan anda mendapat nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil ubat-ubat tersebut.

Semoga sedikit perkongsian ini dapat membantu kita semua. Salam muhibbah dari saya.
Continue Reading...

27 November 2009

Berkorban Apa Sahaja



Pagi yang hening kedengaran suara takbir berkumandang di angkasa. Mengejutkan saya dari tidur yang lena. Namun, sambutan aidul addha kali ini berbeza dari yang sebelumnya. Saya menyambutnya di tanah air tercinta, Malaysia. Apabila masuk melangkah ke dalam masjid menunaikan solat sunat aidil adha lalu mendengar khatib membacakan khutbah, hati ini tesentuh.

Tersentuh apabila mengenang bagaimana besar pengorbanan Nabi Ibrahim dan juga Nabi Ismail. Juga pengorbanan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam. Sanggup bergadai nyawa, tinggal harta benda dan sanak saudara. Merenung kembali pada diri, berasa malu kerana kadangkala tidak mampu untuk berjuang pada sesuatu yang mampu untuk membantu jalan agama.

Sesungguhnya sungguh besar nilai pengorbanan dalam kehidupan seorang manusia. Begitu tinggi nilai pengorbanan seorang ibu kepada anak. Pengorbanan seorang bapa kepada isteri juga kepada anak-anak. Membesar, mendidik, mengasuh sehingga dewasa namun langsung mereka tidak meminta sebarang balasan.

Kehendak dan harapan mereka daripada anak-anak apabila dewasa kelak tatkala sudah mampu hidup sendiri bukanlah wang ringgit dan harta benda. Tetapi setiap ibu bapa hanya mengharapkan kasih sayang insan yang bergelar anak. Andai pada waktu kecil dahulu si ibu dan bapa sanggup berkorban apa sahaja. Apalah salahnya sebagai anak kita mengorbankan sedikit ruang masa untuk menziarahi mereka pada hari yang mulia ini.

Setiap tahun kita menyambut hari raya aidil adha atau hari raya korban. Saban tahun jugalah, kita menunaikan ibadah koban ini. Berpuluh-puluh ekor lembu dan kambing tumbang di setiap pelosok kampung. Namun, sejauhmanakah kita memahami dan mengaplikasikan pengertian korban ini dalam kehidupan seharian kita.

Adakah selama ini ungkapan itu hanya meniti di bibir tanpa ada usaha untuk menterjemahkannya dalam kehidupan seharian. Belajarlah utuk berkorban pada sesiapa sahaja. Usah mengira budi yang pernah ditabur.


Berkoban bukan sahaja pada negara, agama dan ibu bapa. Kerana itu memang kewajipan. Tetapi cubalah untuk berkorban pada rakan taulan ataupun mungkin pada sesiapa sahaja yang tidak kita kenali. Yang penting kena pada cara, tidak salah di sisi agama kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Selamat berkorban...
Continue Reading...

11 November 2009

Siapa cepat dia dapat




Sikap bertangguh selalu mengundang rugi. Andai melakukan sesuatu perkara, gemar melafazkan kalimah ‘nanti’. Kadang-kadang bukan kerana rasa malas yang menebal. Tetapi, kerana kepentingan lain yang dirasakan perlu dilakukan segera.

Kalau suka bertangguh segala perkara tidak menjadi. Banyak perkara yang ingin diperoleh kalau dilakukan dengan bertangguh selalunya tidak dicapai dengan jayanya. Kata mudahnya kerja sekarang, sekarang juga kita lakukan. Usah kata nanti.

Dunia hari ini memerlukan manusia yang bukan sahaja bijak dalam menguruskan hal-hal seharian, pandai dalam bidang kerja mereka tetapi juga memerlukan manusia yang pantas menghidu peluang di depan mata.


Manusia sebegini tidak gemar membiarkan peluang di hadapan mata melepas begitu sahaja. Segala apa yang bermanfaat di depan mata kalau boleh digarap dengan sepantas mungkin.

Sebab itu cuba kita melihat bagaimana orang cina kalau berniaga. Mereka berani menaggung risiko walaupun kadang-kadang risiko itu cukup besar bagi mereka. Kerana apa? Bagi mereka peluang itu hanya datang sekali. Tiada yang kedua. Siapa yang menjadi kedua pasti rugi.

Tuhan juga menyarankan kepada kita sebagai umat manusia supaya menggunakan peluang hidup di dunia ini sebaik mungkin. Menggunakan peluang di sini bukan bermakna supaya kita berseronok dan berhibur dengan keindahan dunia. Tetapi, sebagai manusia yang mengerti dan memahami bahawa dunia ini hanyalah ladang untuk kita bercucuk tanam supaya hasilnya dapat kita tuai pada hari akhirat nanti kita seharusnya sedar akan tanggungjawab kita diciptakan di atas muka bumi ini.

Dunia ini hanya sementara. Akhirat jugalah yang kekal selama-lamanya. Itulah ayat-ayat yang selalu kita dengar tatkala khatib berkhutbah di hari Jumaat.

Dunia ini hanyalah diibaratkan sebuah pulau persinggahan untuk kita mencari bekalan perjalanan kita yang jauh.


Apabila dipanggil si nakhoda, kita sebagai anak kapal bersegeralah naik ke atas kapal bagi meneruskan perjalanan. Andailah kita leka akan keindahan pulau tersebut dan berlengah-lengah pasti sahaja kita akan ditinggalkan. Maka, matlamat asal dan utama perjalanan tadi pasti tidak dicapai.

Justeru, usahlah bertangguh dalam apa perkara pun. Jangan kata nanti, tiada kata tunggu dahulu. Bersegera dalam setiap tindakan pasti ada untungnya. Siapa cepat dia dapat, siapa lambat pasti melapas.
Continue Reading...

23 October 2009

Kuat makan tanda hati senang



RAMAI orang pantang sahaja nampak makanan mulalah selera mereka pun bertambah. Tidak kira makanan itu makanan berat ataupun ringan. Sedap ataupun tidak. Tambahan pula kalau aroma baunya yang menusuk hidung lagilah membangkitkan nafsu makan.

Namun wujud segelintir dari kalangan kita yang pelik akan selera makan mereka yang semakin hari semakin bertambah. Kuat makanlah senang cerita. Menurut kajian sains banyak faktor yang boleh mengakibatkan selera makan kita bertambah. Wujud segelintir kita yang selera makannya bertambah namun berat tidak juga bertambah-tambah malah boleh jadi berkurang.

Kajian juga menunjukkan bahawa terdapat juga sesetengah manusia yang selera makan mereka boleh berkurang dan pastinya berat mereka juga berkurang. Sesetengah mereka yang menghidap penyakit-penyakit kronik seperti sakit buah pinggang¸ kanser¸ AIDS dan sebagainya adalah contoh yang boleh mengakibatkan selera makan berkurang.

Namun apakah pula yang menyebabkan selera makan kita boleh bertambah? Pada pemerhatian saya kebanyakan manusia yang berada dalam kemurungan akan sentiasa berada dalam kesedihan¸ hati tidak tenteram¸ keluh kesah¸ fikiran barangkali berserabut. Maka sudah tentulah selera makan pun tiada. Sebab itulah kita selalu melihat mereka yang sedang berada masalah di tempat kerja atau keluarga segala urus diri mereka entah ke mana.


Hal ini berbeza pula bagi mereka yang hatinya senang. Segala apa yang mereka
mahu¸ mampu diperoleh dengan mudah. Hati senang¸ gembira dan bahagia. Lihat
sekeliling seakan mahu tersenyum sahaja. Serasa dunia ini indah belaka.

Selalunya orang begini jarang punya masalah yang besar-besar dan berat-berat. Mereka jarang berfikir sesuatu untuk berusaha menyelesaikan masalah berat yang dipikul. Orang sebegini selalunya akan mempunyai selera makan yang banyak. Kalau lalu sahaja di kedai makanan-makanan ringan pantas sahaja tangan mencapai snek-snek makanan ringan. Kalau malam pun begitu.

Kebanyakan mereka akan menghabiskan waktu malam mereka dengan menguyah tidak kira apa juga makanan sambil menonton televisyen atau barangkali di hadapan komputer dan tidak mustahil juga ketika sambil menelaah pelajaran.

Namun siapa pun kita. Dalam golongan manapun kita. Bersyukurlah kerana kita masih dikurniakan nikmat untuk menjamah dan menjamu selera segala macam makanan. Tiada rasanya atau sukar untuk kita melihat masyarakat di Malaysia yang mati kebuluran sepertimana yang berlaku di Darfur, Palestin dan negara sedang membangun lain.

Kita sebagai umat Islam sentiasalah perlu menjaga adab-adab ketika makan dan minum. Bukankah itu telah lama diajar kepada kita sewaktu kita kecil-kecil lagi. Makan dalam keadaan duduk¸ bacaan doa sebelum dan selepas makan. Perkara ini nampak ringan. Namun itulah yang selalu kita tinggalkan termasuklah saya. Kalau sekecil-kecil perkara ini pun tidak mampu kita jaga bagaimana untuk memikirkan perkara-perkara yang lebih besar.


Makan apabila lapar behenti sebelum kenyang

p/s: Sama-samalah kita saling mengingati. Salah silap harap dimohon maaf. Manusia tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan. Jadilah kita manusia yang sesempurna mungkin walaupun manusia itu memang tiada yang sempurna.
Continue Reading...

19 October 2009

Jejaka Melayu Terakhir



SIAPA itu jejaka melayu terakhir? Berbicara persoalaan ini saya lebih gemar menulis mengikut pandangan peribadi saya. Tidak semestinya betul boleh jadi salah. Semua lelaki golongan adam mahu dikatakan yang mereka ini macho, tampan, segak, gagah dan bergaya. Ya bukan.

Namun apakah sebenarnya kriteria yang dikatakan lelaki macho atau lelaki hebat ini? Adakah lelaki gagah dan macho ini adalah mereka yang bermuka jambu? Atau adakah mereka yang bertubuh sasa tegap handsome bergaya?

Setiap orang punya pandangan masing-masing. Terdapat sesetengah mereka yang menganggap lelaki yang macho ini terletak pada janggutnya. Usah terkejut ya. Ini kenyataan hasil daripada pembacaan saya. Bagi mereka sejauh mana keunikan janggut itu maka macholah lelaki itu.

Tidak kurang pula ada yang mengatakan lelaki gagah, macho dan hebat ini dinilai daripada ketampanan pada wajahnya. Sekali pandang teruja bergetar jiwa. Ada juga yang mengatakan bahawa jejaka macho ini adalah mereka yang hebat dan petah berbicara. Kalau berkata-kata nampak hebat belaka. Kata-katanya penuh berhikmah.

Lelaki gagah dan macho juga ada yang berpendapat adalah mereka yang relaks, cool dan tenang. Mudah tersenyum tidak masam mencuka selalu.

Tidak kurang juga ada di kalangan wanita yang menganggap lelaki hebat dan gagah ini adalah mereka yang koceknya penuh. Poket tebal. Gaji beribu-ribu ringgit. Pakai kereta besar. Berpangkat tinggi dan berjawatan besar, sentiasa berpakaian kemas dan berjaya dalam hidup. Semua ini dikatakan bagi mereka adalah lelaki yang macho.

Terdapat juga segelintir yang mengatakan bahawa lelaki macho dan gagah ini adalah mereka yang manis berbicara. Pandai memujuk. Kata-katanya boleh mencairkan golongan hawa yang mendengarnya.

Ada juga yang mengatakan bahawa ketampanan dan kehebatan seorang lelaki terletak pada kegigihan serta usahanya dlm menghadapi cabaran dan kesukaran hidup serta mampu 'mampu berdiri dgn sendirinya'..

Namun apa yang saya cuba ketengahkan di sini adalah. Apakah ketampanan dan cantik paras rupa itu kekal selamanya? Apakah jawatan tinggi dan penampilan luaran itu menjamin lelaki itu orang baik-baik. Saya tinggalkan persoalan ini untuk anda semua.

Akhir sekali terdapat suatu golongan yang menganggap ketampanan, kehebatan, kegagahan dan kemachoan lelaki itu terletak pada sejauhmna tinggi nilai ilmu pengetahuannya terutama ilmu agamanya. Sejauhamana pengaplikasian ilmu itu dalam kehidupan sehariannya. Sejauhmana keikhlasannya dan kejujurannya. Sesungguhnya itu yang kekal walaupun memang sukar untuk menilai seseorang itu hanya pda luaran.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!”

p/s: Sekali lagi saya ulangi. Segala hasil tulisan ini tidak semestinya benar, boleh jadi salah. Segala yang baik jadikan tauladan dan yang buruk usah dibuang tapi jadikanlah ia cerminan supaya boleh dijadikan panduan suatu masa nanti. Salam muhibbah dari saya. Jumpa lagi...
Continue Reading...

16 October 2009

Hidup perlu tekanan


KITA selalu merungut. Masalah yang menimpa seolah-olah tiada hentinya. Selepas satu selesai datang pula yang lain. Seolah-olah tidak pernah cukup. Serabut fikiran memikirkan jalan keluar ke arah penyelesaian. Kemudian datang pula yang lain.

Namun sedarkah kita bahawa itulah yang dinamakan kehidupan. Kehidupan tidak akan pernah lengkap jika tiada permasalahan dan tekanan di sampingnya.
"Begitu jugalah tuhan ciptakan dunia ini berwarna
warni. Cuba bayangkan kalau dunia ini hanya ada warna hitam dan putih. Sudah tentu bosan bukan. "

Pernah anda jumpa manusia yang tidak pernah punya masalah? Jawapannya sudah tentulah tidak. Setiap orang pasti punya masalah. Tidak kiralah masalah itu besar ataupun kecil. Tetapi yang membezakan adalah sejauh mana kita mengenal pasti masalah tersebut dan menyelesaikannya dengan penuh berkhemah dan bijaksana.

Bagi kebayakan kaum hawa andai tiba sahaja hari raya, aidilfitri dirasakan tidak meriah dan lengkap jika tidak ditukar langsir baru. Lain pula bagi si nenek tua di kampung setiap malam ramadhan pasti perlu dihidupkan pelita keliling rumah. Semua ini andai tidak dilksanakan adalah suatu masalah besar buat mereka. Penagih dadah kalau tercicir duit 50 sen akan dikais-kaislah tanah mencari ke mana hilangnya syiling tersebut. Pernah nampak bukan? Sesungguhnya, semua ini berbeza mengikut persepsi masing-masing.

Namun dalam kita tidak sedar, masalah dan tekanan itu sendiri perlu untuk setiap individu. Dengan adanya tekanan, kita dapat memacu diri kita ke arah yang lebih maju. Jika tiada tekanan kita akan sentiasa berada dalam zon yang selesa. Kita sentiasa berada pada takuk lama. Kita akan sentiasa berasa cukup dengan apa yang kita ada.

Sememangnya dari satu aspek kita disarankan supaya bersyukur dengan apa yang kita ada. Namun tidak sedarkah kita bahawa dengan adanya tekanan itu sendiri membuatkan kita sentiasa berusaha dengan lebih keras mengatasi tekanan tersebut. Barulah kita boleh menjadi golongan yang sentiasa berjaya.

Seorang penjual pisang goreng tepi jalan tidak salah untuk memiliki Toyota camry 2.4 andai mereka mampu. Semoga dengn aset yang mereka ada itu akan memberi tekanan positif buat mereka untuk bekerja dengan lebih keras lagi bagi menunaikan setiap tanggungan mereka. Ubah cara berfikir. Usah menganggp tekanan itu sebagai suatu bebanan. Tetapi anggaplah tekanan itu sebagai suatu batu loncatan positif untuk kita kita sentiasa berusaha sesuatu yang baru untuk mencapai kejayan yang lebih baik.

p/s: Manusia yang jarang memaksimumkan penggunaan kedua-dua belah otak mereka akan lebih mudah terkena simptom nyanyuk apabila tua kelak. Justeru, gunakanlah semaksimumkan mungkin kedua-dua belah otak kita sebaiknya.
Continue Reading...

14 October 2009

MEMBERI BUKAN MEMINTA


TANGAN kanan yang menghulur tangan kiri tidak nampak. Begitulah diibaratkan kita sebagai manusia memberi sesuatu kerana niat yang ikhlas. Hari ini kita hidup dalam suasana yang aman dan tenteram. Cuba bayangkan apa yang berlaku pada saudara sesama muslim di Padang Indonesia baru-baru ini. Tergerakkah kita untuk menghulurkan bantuan atau sekadar masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Kita sentiasa berada pada zon yang selesa. Keadaan di mana segala apa yang dikehendaki mampu dipenuhi dengan mudah. Segalanya lengkap. Mahu ke mana-mana sahaja pelbagai kemudahan sudah sedia ada. Alangkah beruntung bagi manusia yang bangun pagi terus sahaja teringatkan nasib-nasib yang menimpa saudara lain di seluruh dunia. Hati tidak akan tenteram andai nikmat yang ada tidak dikongsi bersama.


“Setiap muslim yang memberi pakaian kepada muslim yang tidak berpakaian¸
ALLAH akan memberikan pakaian syurga kepadanya. Setiap muslim yang memberi
muslim lain yang dalam kelaparan, ALLAH akan memberi buah syurga kepadanya. Dan
setiap muslim yang memberi minum kepada muslim lain yang dalam kehausan, ALLAH
akan memberikannya minuman dari ar-Rahiqul-Makhtum (Hadith Riwayah Abu
Daud)”

Setiap sesuatu pasti ada sebab dan akibat. Kalau benih baik yang ditanam pasti saja yang tumbuh juga tumbuhan yang hidup subur. Jarang sekali yang tumbuhnya lalang. Itu lumrah kehidupan. Setiap apa yang kita infak dan dihulur pasti ada balasannya. Kalau tidak sekarang mungkin juga di akhirat kelak.

Hati seringkali runsing, gundah gulana serba tidak menentu. Keselesaan yang dikecapi masih membuatkan manusia kadang-kadang tidak cukup. Lain pula bagi mereka yang tinggal di kampung terpencil serba kekurangan namun hidup dalam keadaan yang aman tenteram. Kemewahan, keselesaan dan harta benda tidak menjamin ketengan hati yang hakiki.

Cubalah belajar untuk memberi. Memberi pada mereka yang memerlukan. Usah terlalu banyak meminta. Jangan terlalu memanjakan diri. Ingat ya, memberi bukan semata-mata wang ringgit tetapi memberi apa jua yang dapat memberi manfaat pada orang lain. Sampaikanlah sedikit ilmu andai itu yang kita ada, kudrat tenaga, kepakaran dan kemahiran yang kita punya. Semua itu hanyalah pinjaman.


p/s: Tuhan hanya campakkan pinjaman itu kepada kita hambanya untuk sekejap cuma. Bila-bila masa boleh ditarik balik. Ia milik semua. Maka kongsikanlah bersama.
Continue Reading...

22 June 2009

Apa ada pada nama...



SEMAKIN jauh berjalan, semakin banyak kita melihat ragam dan karenah manusia. Telatah yang kadang-kadang pelik pun ada. Dewasa ini, manusia suka melakukan sesuatu hanya pada nama. Kalau melakukan sesuatu kalau boleh diketahui umum. Maaf ya, tidak semua begitu tetapi wujud segelintir dari golongan manusia yang begini. Berjumpa dengan sesiapa sahaja, sibuk menceritakan sumbangan dan kerja yang mereka lakukan.



Pendapat saya, tidak perlulah begitu. Sia-sia sahaja amal dan tindakan yang dilakukan ANDAI terdapat setitik rasa ingin menunjuk atau supaya diketahui orang. Bukan apa, kadang-kadang kita tidak sedar yang orang lain sedang sibuk memerli dan meluat dengan kita. Bukankah kita juga selalu mendengar pepatah yang berbunyi “kalau memberi, biarlah tangan kanan yang menghulur tapi tangan kiri tidak tahu”.


Tidak menjadi suatu kesalahan kalau melakukan sesuatu bukan kerana nama. Tetapi memang kerana niat kita ikhlas ingin membantu dan memperoleh sesuatu manfaat. Hati kecil saya selalu berkata, kalau ilmu dan pengetahuan yang sekadar sedikit cuma tidak perlulah hendak cakap yang lebih-lebih. Malu sedikit pada orang yang ilmunya mungkin jauh lebih hebat dari kita tetapi jarang mengeluarkan sesuatu kenyataan yang mungkin menzahirkan kejahilan kita.


Ingatlah, bukan kita seorang diri di atas muka bumi ini. Kita sering diperhati. Kata orang, baiklah diam sahaja kalau rasa tidak tahu, diam bukan bererti bodoh, tetapi jadilah diam-diam tapi yang berisi.


p/s: Sama-samalah kita ikhlaskan niat kita dalam melakukan setiap perkara. Sekecil-kecil perkara andai kena pada tempatnya sesuai pada cara, insyaALLAH akan ada hikmahnya kelak.


Continue Reading...

09 June 2009

Panas itu datang lagi...


Kehangatan luar masih terasa.

Peluh terus membasahi seluruh tubuh.

Bahang terik sang mentari terus memanahkan sinar cahaya.


Titisan keringat menitis galaknya,

Tiupan angin hadir membawa hawa yang panas,

Pancaran matahari membara memusingkan kepala.

Ah... aku nak lari,

Tapi mahu lari ke mana ya?

Di sini semuanya serupa,

Luar dan dalam tiada bedanya


Waktu begini memang sesuai memerap sahaja,

Tapi nyata itu tak bisa,

Kudrat perlu dikerah demi setitik ilmu.


Hari terus berganti dengan harapan semakin pantas,

Siang, senja, dinihari serupa sahaja,

Inilah yang dinamakan ujian hidup...


p/s: Kehangatan negara padang pasir ini benar-benar menguji. Apabila difikir-fikirkan sejuk sangat pun susah, panas sangat pun payah. Huh... itulah tandanya tuhan mahu menguji sejauhmana kita mampu menggunakan nikmat syukur yang sentiasa dikurniakan pada setiap hambanya. Ya ALLAH, berilah kekuatan pada hamba-MU ini.

Continue Reading...

21 May 2009

Carilah ‘BABY’ kita


Setiap manusia yang bernyawa pasti melalui tingkat piramid kehidupan sehingga menjadi dewasa. Bermula dari bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, belia, tua dan akhirnya memejamkan mata selama-lamanya. Semakin meningkat usia semakin banyak yang kita ketahui, semakin banyak jugalah kesilapan dan kelemahan yang terzahir walaupun di situ semakin banyak kemampuan yang mampu kita lakukan. Jadilah macam baby. Menangis apabila perlu, diam takala tidak tahu. Gerak apabila diminta.


1) Dukunglah bayi 2 bulan dalam keadaan mereka sedang berdiri kemudian perlahan-lahan letakkan kaki mereka di permukaan rata. Sepantas itu jugalah kaki mereka akan menguis-nguis membina langkah mahu berjalan atau merangkak.


2) Baringkan bayi dalam keadaan menelentang dan kemudian pusingkan kepala mereka ke kanan atau ke kiri dengan pantas. Pasti sahaja mereka akan mendepakan tangan ke arah mana pusingan kepala mereka dan tangan yang satu lagi akan dibengkokkan.


3) Sentuhlah pipi si bayi kecil. Pasti mereka akan menoleh ke arah anda dan mulut terbuka sebagai tanda mahukan sesuatu.


4) Ketuklah dengan perlahan permukaan licin tulang di pertengahan dahi antara dua kening bayi. Sepantas itu jugalah mereka akan memejamkan mata serapat-rapatnya.


p/s: Semua ini hanya terdapat pada si bayi kecil yang tidak tahu apa-apa. Tidak mungkin ada pada kita manusia dewasa yang normal. Tuhan kuniakan mereka kelebihan pasti ada sebabnya. Carilah bayi kita yang sudah lama hilang. Menangis apabila perlu, diam takala tidak tahu. Gerak apabila diminta.

Continue Reading...

14 May 2009

"SeJUJUR manakah kita..."


“Naik motor ramai-ramai tak ada cukai jangan buat pasal”. Suatu ketika dahulu kalau anda masih ingat, lagu ini pernah top di setiap corong radio. Namun, saya sendiri tidak faham apa mesej sebenar yang cuba disampaikan.


Sebentar tadi saya sempat berborak ringkas dengan pemuda arab mesir berkenaan murur di negara afrika ini. Katanya mesir ini tidak seperti Malaysia. “Masr ma fisy nizom”. Ah, kata yang sering sahaja kita dengar. Tapi ini kata daripada rakyat pribumi ini sendiri yang sudah bertahun menunggang motosikal namun tanpa ada sebarang lesen memandu. Andai ditahan pihak berkuasa bukannya susah katanya. Hulurkan saja Le20 pasti saja senyap. Tidak kira yang menerima itu muslim ataupun tidak.


Perlukah kita menganggap itu sebagai hadiah atau sebaliknya? Persoalannya. Mengapakah di negara yang dikatakan Ummu Dunia ini, masih lagi terdapat budaya serong ini. Sejarah itu penting kerana dengan sejarah mampu menjadi cermin pada kita. Tetapi, apa yang hendak dibanggakan hanya pada sejarah kalau realitinya ketika ini tidak sehebat mana.



Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya (Al-Israk:36)


Continue Reading...

08 May 2009

Aku bukannya culas...siri 2

Coretan ini adalah sambungan daripada entri saya yang lepas. Sedarkan diri dari tidur tatkala alpa.


Langkah ketiga, untuk membentuk semangat yang telah lama hilang ataupun yang memang tidak pernah termotivasi ialah ubah perseketitaran. Lakukan perubahan. Dalam masa sebulan ini, ubah suasana bilik belajar kita. Kalau sebelum ini berselerak dan kotor sana sini. Mulai esok kita bersihkan ceriakan. Kita beri peluang pada tubuh kita mendapat tempat yang seselesa mungkin untuk belajar. Manusia sukakan yang bersih yang cantik. Maka apabila bilik kita sudah bersih, kita akan bertambah ceria bersemangat untuk belajar.


Tampal pula kata-kata semangat dari tokoh-tokoh berjaya seluruh dunia. Tidak kiralah saintis, agamawan, tokoh perniagaan atau sesiapa sahaja. Kita tulis besar-besar kata tersebut dan tampal banyak-banyak di dinding supaya kita sentiasa termotivasi. Apabila kita terasa malas sahaja, tetapi apabila terbaca kata-kata semangat tersebut..kita akan kembali bersemangat. Kedudukan belajar kita juga barangkali boleh diubah. Kalau sebelum ini meja belajar kita menghadap dinding sekarang tukar selera pula, kita ubah susunan menghadap jendela. Beri nafas baru pada persekitaran kita. Bagaimana mahu mengubah diri kalau persekitaran juga tidak diubah?


Langkah keempat, kalau ditanya pada saya apakah motivasi paling besar dalam diri. saya akan jawab ibu dan ayah. Kenapa saya katakan ibu dan ayah sebagai motivator terbesar saya. Kerana apabila teringatkan pengorbanan mereka saya jadi terharu. Ayah membanting tulang membesarkan kita sewaktu kecil manakala ibu pula menyusukan kemudian membesarkan. Maka apakah ada lagi hadiah paling besar buat mereka melainkan doa dan kejayaan tak seberapa dari anaknya. Kalau sebelum ini jarang sekali menelefon ibu dan ayah. Sekarang ini sudah dekat musim peperiksaan kalau boleh 2 atau 3 hari sekali telefonlah mereka. Cukup sekadar tanya khabar. Kemudian letak pula gambar ibu dan ayah di atas meja study kita. Apabila kita tengok wajah mereka secara automatik rasa rindu pun datang dan motivasi pasti meningkat.Tahukah anda bahawa motivasi paling besar dalam diri setiap individu adalah ayah dan ibu.


Akhir sekali, Eugene Griessman, seorang pakar pengurusan pernah bertanya kepada seorang jurujual apakah yang dilakukannya setiap kali sebelum melakukan pemasaran. Jawabnya.. genggam satu penumbuk..kemudian tumbuk tangan satu lagi sampai bunyi pop!!!.dan berkatalah..ya! saya sungguh hebat sekali..Kemudian Eugene Griessman pun mencubanya dan ternyata ianya sangat berkesan. Tahu kenapa? Kerana dengan melakukan sedemikian anda telah memperdayakan ingatan separuh sedar anda. Otak separuh sedar anda percaya akan kebenaran yang anda katakan. Kemudian otak separuh sedar tadi menghantar mesej pengesahan ke seluruh sistem saraf. Sebab itulah anda berasa hebat sekali.

Continue Reading...
 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template