28 March 2010

'relax' dulu...




KERJA yang menimbun dan bebanan tugas yang kunjung tiba membuatkan manusia sibuk sentiasa. Seakan-akan tidak punya masa untuk berehat. Bermula dari pagi hinggalah kita memejamkan mata, masa dihabiskan dengan menyiapkan tugasan harian.

Namun, sedarkah kita bahawa berehat sebentar itu adalah lebih baik daripada terus menerus dengan kesibukan harian? Tahukah kita bahawa berehat satu minit itu lebih penting daripada satu jam kerja yang meletihkan, membosankan dan penuh paksaan?


Seorang cendekiawan barat pernah berkata: "Perkara yang paling penting dalam satu hari manusia adalah waktu rehat yang mereka peruntukkan antara dua tarikan nafas yang panjang".


Ambillah masa untuk berehat walaupun hanya setengah jam untuk memberikan rehat pada anggota badan. Kalau tidak pada fizikal pun, minda juga perlukan rehat. Kadang-kadang apabila mental kita penat, natijahnya segala kerja yang kita lakukan serba tidak menjadi. Kita merasakan kita sudah melakukan yang terbaik tetapi tanpa disedari bahawa otak kita sebenarnya telah terlalu penat bekerja seharian.

Berehatlah sebentar untuk tidur yang cukup. Tidur yang cukup amat penting untuk kesihatan. Kualiti kerja dan kehidupan akan terjejas seandainya jadual rutin harian tidak sempurna.

Menurut kajian yang dijalankan oleh David F. Dinges, Ph.D. Pakar Psikologi University of Pennsylvania School of Medicine "Keadaan mudah marah, kemurungan (moodiness) dan stress adalah antara tanda-tanda awal yang dialami oleh mereka yang tidak mendapat tidur yang cukup".


Keperluan untuk tidur juga berbeza. Puratanya manusia dewasa memerlukan tidur selama 8 jam untuk tidur yang cukup. Sesetengahnya pula hanya memerlukan sekurang-kurangnya 6 jam untuk menjalankan tugasan harian secara maksimum tanpa sebarang rasa mengantuk. Justeru, carilah kesesuaian di sana. Apa yang penting, usah kerana tidur yang tidak cukup itu menjadi penyebab rendahnya mutu kerja harian kita.

Ayuh. Kita cemerlang dan hebatkan diri dengan tidur dan rehat. Usah ada yang salah anggap. Bukannya terus terusan berehat. Tetapi cukuplah sekadar yang perlu.

p/s: Kalau mesin yang seharian digunakan pun boleh rosak apa lagi tubuh badan kita. Gunakanlah segala nikmat kurniaan yang diberikan sebaik mungkin. Ianya hanya diberi sekali tiada yang kedua.
Continue Reading...

21 March 2010

Kata TIDAK pada jerawat




REMAJA sering mempersoalkan mengapa kulit mereka sering dipenuhi dengan jarawat. Mula-mula sedikit tetapi lama kelamaan boleh menjadi kronik dan memenuhi segenap ruang wajah. Ada sesetengahnya pula yang menjadi fobia dengan perkataan ‘jerawat’ ini. Menurut mereka saham akan jatuh apabila kulit muka dipenuhi jerawat. Benarkah begitu?

Di sini saya ingin kongsikan serba ringkas beberapa tips atau langkah yang boleh diambil untuk merawat jerawat ini.

1)Pastikan muka anda dicuci sekali atau dua kali sehari. Namun harus diingat usah mencuci dan menggosok muka secara berlebihan. Mencuci dan menggosok muka yang kerap akan menyebabkan kulit sihat menjadi kering di samping radang pada kawasan kulit yang cenderung untuk dipenuhi jerawat.

2)Usah memicit atau menekan jerawat dengan kuku, pin atau sebagainya. Ini boleh menyebabkan jerawat tersebut merebak ke lapisan dalam bawah kulit lalu menambahkan inflammasi dan jangkitan ke sekeliling atau serata kulit wajah. Di samping itu, ianya juga boleh mengakibatkan parut atau scar sekiranya tidak dilakukan dengan cermat.

3)Sekiranya anda menggunakan toner, elakkan produk yang mengandungi kandungan alkohol yang tinggi. Kandungan alkohol yang tinggi boleh mengakibatkan kulit kering, kemerahan dan menambahkan kecacatan pada kulit.

4)Jauhkan tangan anda dari muka. Maksudnya kurangkan sentuhan antara tangan dan muka terutama tangan yang tidak dicuci bersih. Sejenis bacteria iaitu P. acne adalah bakteria penyebab jerawat. Ianya terdapat di serata kulit kita. Sentuhan yang kerap antara tangan dan muka akan menambahkan kebarangkalian bakteria ini merebak ke kulit muka.

5)Gunakan krim sapu atau losen sekiranya anda hanya mempunyai beberapa jerawat di muka. Contoh yang boleh digunakan seperti krim yang mengandungi salicylic acid atau Benzoyl peroxide. Gunakan ianya selama kira-kira satu ataupun dua bulan. Kebiasaannya anda akan dapati perubahan positif pada jerawat anda walaupun pada awal penggunaan ubat tersebut ianya kelihatan semakin teruk. Namun seandainya setelah tempoh tersebut tiada sebarang perubahan, cuba dapatkan produk lain.

6)Dapatkan khidmat nasihat pakar perubatan sekiranya jerawat semakin teruk walaupun anda telah mencuba segala langkah-langkah di atas. Doktor juga akan mencadangkan anda untuk mengambil pil antibiotic. Banyak antibiotic yang boleh kita ambil. Contohnya seperti Doxycycline, Erythromycin, Amoxicillin dan lain-lain lagi. Namun, pastikan anda mendapat khidmat nasihat daripada doktor sebelum mengambil produk ini memandangkan ianya mungkin punya kesan sampingan pada anda.

7)Harus sentiasa ingat bahawa kata kunci dalam rawatan untuk menghilangkan jerawat ini adalah berikan ia masa untuk bertindak. Tidak kira apa pun langkah yang kita ambil, jerawat tidak boleh hilang atau sembuh dengan sekelip mata atau sehari dua.

8)Akhir sekali, langkah-langkah di atas tidak lengkap sekiranya tidak disertai dengan suatu amalan yang cukup penting. Bagi saya amalan ini adalah langkah yang paling mujarab dan tidak boleh diketepi apalagi diabaikan. Sebagai seorang muslim pastikan kita sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk. Jangan anggap ianya perkara yang remeh kerana dengan berkat air wudhuk itu insyaALLAH kulit kita akan kelihatan sentiasa segar, lembut dan berseri. Kata orang sejuk mata memandang.

p/s: Semoga sedikit perkongsian ini dapat memberi manfaat bersama. Selamat mencuba.
Continue Reading...

09 March 2010

Biar jauh berjuta batu



SALAM perantauan buat mereka yang sedang berada jauh di negara orang. Tidak kira sama ada anda sedang menuntut ilmu atau barangkali juga sedang bekerja. Sememangnya tinggal jauh di negara orang tidak semudah disangka bukan semanis diungkap dengan kata-kata.

Sewaktu zaman persekolahan dahulu kalau kita tanyakan pada pelajar-pelajar tentang cita-cita, saya boleh jamin 90% daripada mereka bercita-cita untuk menyambung pengajian ke luar negara andai diberi peluang. Namun itu hanya impian dan angan-angan.

Realitinya, apabila kita berada di sana barulah kita mengerti betapa benar kata-kata pujangga “hujan emas di negeri orang hujan batu negeri sendiri”.


Tinggal berjauhan dengan keluarga dan sanak saudara bukanlah suatu perkara yang mudah bagi mereka yang jarang berpisah dengan keluarga. Hanya mereka yang benar-benar bersemangat, kuat dan tabah sanggup berhadapan situasi sebegini. Namun, ini tidak bermakna fenomena ini suatu yang lazim berlaku. Ramai juga di kalangan kita yang sebenarnya sudah biasa malah lebih gemar untuk berada jauh di negara orang kerana memang sudah menjadi minat dan kegemaran mereka.

Biar jauh berjuta batu. Jauh itu pengorbanan~...

Manusia sememangnya mahukan sesuatu yang kalau boleh diperoleh dengan mudah, segera dan pantas sekelip mata. Namun, tuhan itu maha adil. Hanya mereka yang benar-benar sabar dan berusaha bersungguh-sungguh yang akan beroleh hasilnya sesuai dengan nilai kesabaran dan hasil kerja mereka.

Sebenarnya setiap sesuatu yang kita lakukan itu adalah suatu amal kebajikan yang akan dihitung kelak andai kita niatkan ianya kerana Tuhan walaupun ianya sekecil-kecil perkara. Ia adalah pengorbanan yang perlu kita laksanakan untuk kita tuai sesuatu yang lebih berharga suatu hari nanti. Mungkin ianya tidak nampak di depan mata sekarang, tapi suatu masa nanti kita pasti tahu apakah ia sebenarnya.

Apabila segala yang kita inginkan dapat diperoleh dengan mudah, kita akan sentiasa berada dalam keadaan zon yang selesa. Ibu ayah, sahabat handai juga kawan-kawan rapat ada di samping kita. Maka dengan itu, mungkin ada juga yang beranggapan kalau mereka semua tiada pun tidak mengapa.


Namun, cuba sesekali rasakan apa akan jadi kalau kita kehilangan mereka. Apakah reaksi kita ketika itu? Mungkin ada yang 'selamba' sahaja mungkin juga ada yang sebaliknya. Sesungguhnya, di kala itu barulah kita rasakan bahawa kita benar-benar memerlukan mereka. Baru kita tahu dan sedar yang mereka sebenarnya kita perlukan dalam hidup ini.

Bagi yang sedang berada jauh di perantauan. Janganlah lupa dengan orang di tanah air ibu bapa, sanak saudara, guru-guru mahupun kawan-kawan sahabat handai. Khabarkanlah berita anda buat mereka. Bukan apa, kadang-kadang kita tidak sedar bahawa mereka sebenarnya menantikan sesuatu daripada kita. Bukannya wang ringgit, tapi cukup sekadar ingatan. Itu lebih utama.

p/s: Saya sedang berbicara dengan diri sendiri dalam usaha untuk membina semangat dan kekuatan untuk terus berada di sini. Doakan saya sentiasa 'istiqamah'. Biar jauh berjuta batu. Jauh itu pengorbanan~…
Continue Reading...

04 March 2010

Usah Takut Kucing




HARI ini saya terpanggil untuk berbicara tentang suatu fenomena yang berlaku pada segelintir daripada kita. Setiap kita mungkin punya fobia pada sesuatu keadaan ataupun perkara. Mungkin fobia untuk berada dalam keadaan gelap, fobia untuk berada di khalayak ramai atau mungkin juga fobia untuk berada di kedudukan yang tinggi seperi jambatan gantung atau menara tinggi.

Namun, tidak dinafikan terdapat di kalangan kita yang juga fobia terhadap binatang atau haiwan yang kadangkala langsung tidak mendatangkan bahaya pada manusia seperi lipas, cicak, semut atau barangkali kucing. Kucing? Ya kucing.


Dalam kita tidak sedar ramai di kalangan kita yang sebenarnya juga fobia untuk berhadapan dengan haiwan yang cukup jinak ini. Namun, kebanyakan daripada kita fobia dengan kucing bukan kerana perasaan takut semata-mata. Tetapi, mungkin kerana perasaan 'geli' untuk memegang bulunya yang lembut dan halus di samping tidak biasa berdampingan dengan haiwan peliharaan.

Salahkah kita untuk memelihara kucing ini? Ada di antara kita yang tidak berminat untuk memelihara haiwan ini. Antara alasan yang diberikan ialah takut rumah berbau dan kotor. Terdapat juga segelintir daripada kita yang bukan sahaja tidak mahu memelihara haiwan ini malahan mengutuk dan memberi pelbagai tohmahan pada mereka yang memelihara haiwan ini. Kononnya memelihara kucing ini suatu hobi yang membuang masa.

Jangan begitu saudara saudari. Kucing adalah haiwan kesayangan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Memeliharanya adalah sunnah. Besar pahala manusia yang mengamalkan sunnah nabi ini.

Diriwayatkan dari Dawud bin Shalih At-Tammar dan ibunya yang menerangkan bahawa budaknya memberikan Aisyah semangkuk bubur. Namun, ketika ia sampai di rumah Aisyah, tenyata Aisyah sedang solat. Lalu, ia memberikan isyarat untuk menaruhnya.

Sayangnya, setelah Aisyah menyelesaikan solat, ia lupa ada bubur. Datanglah seekor kucing lalu memakan sedikit bubur tersebut. Ketika ia melihat bubur tersebut dimakan kucing, Aisyah lalu membersihkan bahagian yang disentuh kucing dan Aisyah memakannya.

Rasulullah Saw bersabda, “Ia tidak najis. Ia binatang yang berkeliling.” Aisyah pernah melihat Rasulullah Saw berwudhu dari sisa jilatan kucing. (HR AlBaihaqi, Abd Al-Razzaq, dan Al-Daruquthni)

Hadis ini diriwayatkari Malik, Ahmad, dan Imam hadis yang lain. Oleh kerana itu, kucing adalah binatang, yang badan, keringat, bekas dari sisa makanannya suci.

Tidak salah rasanya untuk kita sama-sama menghidupkan kembali sunnah yang sudah lama hilang. Mungkin banyak amal kebajikan lain yang kita tidak mampu laksanakan. Namun dengan sedikit usaha kita memelihara haiwan kesayangan nabi ini, siapa tahu ia akan dikira suatu amal kebajikan yang cukup besar di sisi ALLAH. Barangkali ianya juga akan membantu kita di hari kemudian. Tuhan itu maha adil. Setiap kebaikan yang kita laksanakan pasti akan diberi ganjaran. Percayalah.

Berbaktilah pada sesiapa sahaja. Bukan sahaja pada manusia tetapi juga pada binatang haiwan ternakan. Walaupun mereka tidak punya akal untuk berfikir, tetapi dengan setitik nilai kasih sayang yang kita curahkan buat mereka akan dikira sebagai suatu amalan yang cukup besar olehNYA.

p/s: Saya juga salah seorang daripada mereka yang sedikit fobia dengan kucing. Namun, sekarang sudah mula belajar untuk berjinak-jinak dengan haiwan ini. Moga usaha saya berjaya.
Continue Reading...
 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template