25 December 2010

Petua Anak Kembar


RAMAI orang berkata pada saya, alangkah indah dan ‘best’ nya kalau kita dilahirkan sebagai kembar. Dari kecil lagi kita sudah punya teman bahkan sejak dari dalam kandungan ibu lagi. Namun adakah benar indah dan seronok apabila kita dilahirkan sebagai kembar? Persoalan lain, adakah sukar untuk kita mempunyai generasi ataupun anak kembar?

Secara umumnya, terdapat 2 jenis kembar yang selalu kita lihat dan jumpa. Kembar seiras dan kembar tidak seiras. Sepertimana yang kita ketahui, kembar seiras ini mempunyai raut wajah yang hampir serupa. Maka pastinya mereka juga mempunyai genetik yang serupa. Jadi tidak hairanlah jika kita melihat kembar seiras ini kebiasaanya mempunyai minat dan kecenderungan yang sama. Tidak semestinya begini tetapi kebiasaannya macam inilah yang saya lihat. Namun bagi kembar seiras ini, mereka juga mempunyai perbezaan seperti pada cap jari, iris pada mata dan juga suara.

Sedar atau tidak, kita sebenarnya lebih mudah untuk bertemu dan terserempak dengan kembar yang tidak seiras. Nisbah kembar tidak seiras kepada kembar seiras adalah 3 kepada 1. Maka jumlah kembar tidak seiras ini adalah lebih banyak jika hendak dibandingkan dengan kembar seiras. Tetapi, mungkin kerana kita jarang terserempak dengan kembar tidak seiras ini kerana rupa mereka yang tidak seakan serupa menyebabkan kita beranggapan bahawa kembar seiras adalah lebih banyak. Kembar tidak seiras ini boleh berlaku pada mereka yang sama jantina ataupun berlainan jantina. Bermakna pasangan adik beradik yang dilahirkan pada kelahiran yang sama tetapi berlainan jantina (seorang lelaki dan seorang lagi perempuan), mereka juga dikategorikan sebagai kembar tidak seiras.

Bagaimana saya mahu mempunyai anak kembar?? Wah, soalan ini selalu kita dengar kan. Macam-macam jawapan kita dengar. Macam-macam petua juga yang kita perolehi.

Terdapat sesetengah daripada kita yang mengatakan bahawa kita perlu mengamalkan tabiat makan makanan yang ‘berkembar’ seperti pisang kembar, durian kembar, rambutan yang terlekat dan sebagainya. Ada juga yang berpedapat biasakanlah mendukung bayi-bayi kembar, kononnya untuk ambil berkat. Namun, apa pun andaian dan kepercayaan yang dipegang, andai anda mahu tahu kebenarannya maka berusahalah untuk mencuba.


Kajian telah menunjukkan bahawa kadar kelahiran bayi kembar ini adalah lebih rendah di Negara-negara Asia Timur seperti China. Kajian ini menunjukkan bahawa kadar kelahiran bayi kembar ini lebih tinggi dinegara sebelah Afrika. Ibu-ibu yang sudah berumur juga mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk memperoleh anak kembar. Selain itu, sesetengah hormon juga mempengaruhi potensi seseorang wanita itu untuk memperoleh bayi kembar seperti pengambilan hormon-hormon yang membantu proses ovulasi ( e.g Clomid, Pergonal).

Hellin’s Rule (1895) telah menyatakan bahawa kadar kebarangkalian seseorang itu dilahirkan kembar berpasangan iaitu kembar dua adalah 1/80, kembar tiga adalah 1/6400 manakala kembar empat pula adalah 1/512000. Sememangnya tidak dinafikan bahawa kebolehan memperoleh anak kembar ini juga bergantung pada keturunan. Kebiasaannya kalau ditanyakan pada mereka yang kembar, kebiasaanya mereka akan mempunyai saudara dekat yang juga kembar. Kebiasaannya begini.

Wanita yang dilahirkan kembar mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi berbanding lelaki yang dilahirkan kembar untuk memperoleh anak kembar. Wanita kembar mempunyai kebarangkali 1/25 untuk memperoleh anak kembar berbanding lelaki kembar iaitu 1/60. Namun kedua-dua nisbah kebarangkalian ini masih lagi tinggi jika dibandingkan dengan mereka yang dilahirkan sebagai bukan kembar.


Segala yang dinyatakan di atas adalah hasil daripada kajian-kajian pakar perubatan. Tidak semestinya apa yang telah terhasil daripada kajian ini benar-banar berlaku. Kita manusia hanya merancang tetapi tuhan jugalah yang menentukan segalanya. Jadi diharapkan dengan sedikit perkongsian ini dapat membuka minda kita tentang bagaimana dan apakah faktor-faktor yang membawa kepada kelahiran pasangan bayi kembar ini. Akhir kata, kepada mereka yang dilahirkan kembar, bersyukurlah kerana tuhan telah memilih anda daripada sekalian manusia untuk menikmati kelebihan yang tidak ada pada manusia lain. Semoga kita beroleh manfaat bersama. Jumpa lagi…
Continue Reading...

13 July 2010

Kita Tak Miskin



Seorang anak kecil sedang berehat di buaian berteduhkan pohon rendang bersama ibunya…

Anak: Ibu, kita ini miskin kan? Sebab kita tiada apa-apa untuk diberikan pada orang lain.

Ibu: Tidak anakku. Siapa kita kita miskin. Lupakah kamu semalam kita punya wang 50sen dan kita berikan wang itu pada nenek tua sewaktu aku menjemputmu pulang dari sekolah.

Anak: Tapi bu kita cuma memberikan sejumlah wang yang sedikit dan dengan memberikan wang itu kita sudah tidak punya wang untuk makan malam kita. Kita miskin ibu.

Ibu: Duhai anakku. Lupakah engkau minggu lepas kita ada menumpangkan dua orang anak muda berteduh bermalam di pondok kita kerana mereka kesesatan. Lupakah engkau? Itu juga suatu pemberian anakku. Kita telah memudahkan urusannya.

Anak: Ya ibu. Tapi bukankah dengan menumpangkan mereka bermalam di pondok kita, pondok kita menjadi sempit. Malah aku sendiri tidak dapat tidur dengan selesa.

Si ibu tidak mengalah lagi…

Ibu: Wahai anakku. Setiap malam jumaat kita baca kan yassin dan kita sedekahkan buat ayahmu dan muslimin yang lain kan. Itu tanda kita masih punya sesuatu untuk diberikan.

Anak: Ibu. Aku belum tahu membaca. Aku belum lagi mengenal huruf. Sungguh apa yag kau katakan semua hanyalah pemberian-pemberian dari mu. Tapi tidak bagi aku. Aku miskin bu. Aku tidak punya apa-apa untuk diberi pada orang lain.

Sedang si anak kecil ini berfikir.. Lantas dia kembali bersuara…

Anak: Oh ya ibu. Aku pandai bercerita. Aku suka bercerita. Jadi aku boleh bercerita pada kawan-kawan ku tentang segala cerita yang aku ada, suka duka yang aku alami. Aku puas bila aku dapat sampaikan cerita-ceritaku pada teman-temanku. Aku suka melihat mereka gelak ketawa dengan cerita-ceritaku. Ibu, aku tidak miskin bu. Aku juga punya sesuatu untuk aku sampaikan pada orang lain.

Si ibu tersenyum lebar mendengar kata-kata anaknya.


P/s: Setiap daripada kita punya kelebihan. Cari dan serlahkanlah kelebihan itu. Berilah sesuatu pada mereka yang memerlukan. Walaupun mungkin ianya nampak remeh, tapi siapa tahu dengan pemberian kecil itu dapat menggembirakan mereka…
Continue Reading...

19 June 2010

Sajak Untuk Papa



Papa,
Sewaktu aku mula melihat dunia
Kau insan pertama yang melaungkan azan ke telinga kananku
Kau yang menitipkan kalimah itu
Agar aku menjadi insan
Sepertimana kau harapkan

Papa,
Masih aku ingat
Susah payahmu
Titik peluhmu
Jerih payahmu
Membesarkan diri ini...
Kau membanting tulang empat keratmu
Tanpa mengira panas dan hujan
Kau depani jua

Aku tahu papa
Dulu kita bukan orang senang
Selalu pesan itu kau berikan pada ku
Jadilah manusia berguna
Berbakti pada orang tua
Jangan pernah sekali lupa pada jasa mereka...
Sungguh kau tidak banyak berbicara
Mulutmu sering terkunci
Namun senyuman mu dan pandangan matamu
sudah menggambarkan hasrat hatimu

Papa
Aku sering buat kau terluka
Aku menganggap diam mu itu tiada apa-apa
Aku sering menyakiti hatimu
Aku sering meningkah kata-katamu
Aku sentiasa meninggikan kata bicaraku
Maafkan aku papa... kadangkala aku tersilap

Papa,
Ternyata pesan-pesan mu tak pernah sekali aku lupa.
Sehingga kini masih terpahat di hati
walaupun kita jauh di mata...
Aku berjanji pada diri ini
Aku akan berbakti padamu selama-lamanya
Aku akan membayar segala jasa dan pengorbanan yang telah kau berikan
Aku akan berikan apa yang telah kau berikan pada ku selama ini
Kasih sayang, ingatan, masa, didikan dan segalanya...
Walaupun aku tahu nilainya tak termampu untuk aku lunaskan
Selamat hari ayah.....papa


Dari anakmu di perantauan. 9.55 malam, 19 Jun 2010-Kaherah Mesir
Continue Reading...

10 June 2010

Kerana manis tembikai



Kali ini saya ingin berkongsi serba sedikit info berkenaan kelebihan yang ada pada buah tembikai. Memandangkan suhu ketika ini yang cukup tinggi dan cuaca yang panas, maka ada baiknya kalau kita mengkaji dan mengetahui rahsia dan khasiat di sebalik buah tembikai ini.

Buah tembikai merupakan sumber terbaik bahan antioksidan yang dipanggil lycopene. Lycopene ini akan meneutralkan bahan-bahan radikal bebas. Bahan radikal bebas ini boleh mengoksidakan kolestrol lalu menyebabkan kolestrol tersebut melekat pada dinding saluran darah. Ini bermakna lycopene yang terkandung dalam tembikai dapat mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok. Lycopene juga dipercayai dapat mengurangkan risiko menghidap kanser prostat.

Buah ini juga kaya dengan pelbagai sumber vitamin. Contohnya seperti vitamin B yang penting untuk penghasilan tenaga. Ia juga kaya dengan vitamin B6 , B1 dan magnesium. Vitamin B6 penting kerana ia merangsang dan membantu penghasilan bahan kimia pengantar di dalam sel otak.

Kita selalu membayangkan bahawa vitamin C hanya dapat diperoleh daripada buah limau dan oren. Namun harus diingat bahawa buah tembikai juga merupakan suatu sumber baik bagi vitamin C juga tidak ketinggalan vitamin A. Vitamin A dan C ini baik untuk system imun badan. Vitamin A khususnya pula baik dalam penjagaan mata.

Tembikai juga adalah buah-buahan yang dapat membekalkan kita dengan mineral dan elektrolit penting seperti potassium, thiamin dan sodium yang dapat mencegah daripada pelbagai jenis penyakit

Sebelum saya terlupa kandungan antioksidan yang ada pada tembikai ini juga dapat mengurangkan risiko terhadap beberapa penyakit seperti asma, rheumatoid arthritis, kanser usus dan sakit jantung.

Akhir sekali, suatu perkara yang harus diingat bahawa buah tembikai dapat membekalkan kita dengan air yang sangat banyak. Justeru, ia adalah alternatif terbaik sebagai bekalan air dan tenaga di musim panas. Diharapkan sedikit perkongsian ini dapat memberi manfaat bersama. Semoga berjumpa lagi…
Continue Reading...

20 May 2010

Berkata itu perak, diam itu emas



Kalau berkata-kata itu perak, berdiam itu emas. Antara kedua-dua itu sesungguhnya sesiapa yang menjadi pendengar bijak dan setia adalah lebik baik dan mulia. Apa maknanya ungkapan ini?

Kebanyakan kita kadang-kadang cakap memang hebat penuh berisi malah berhikmah lagi. Itu memang baik. Moga apa yang disampaikan itu dapat diambil manfaat oleh sekalian pendengar. Namun, yang dikhuatirkan semakin banyak kita berkata-kata maka semakin banyaklah terserlah kelemahan kita. Sebab tu selalu kita dengar orang cakap, orang yang banyak mulut ni kata-katanya banyak tak betul banyak yang karut marut.

Tak semua begitu tapi selalunya ini yang saya lihat. Apa yang lebih malang apabila terdapat segelintir golongan sebegini yang hanya mahir bila berkata-kata tetapi dalam usaha untuk mempraktikkannya, mereka gagal. Mereka gagal untuk menterjemahkan apa yang mereka katakan itu dalam amalan harian.

Justeru langkah terbaik bagi golongan sebegini adalah cuba berlatih untuk berdiam. Apabila kita tidak banyak berkata-kata maka kurang kelemahan dan kesilapan yang terserlah. Maka sudah tentulah kurang juga mengeluarkan kata-kata yang boleh menimbulkan sakit hati, sia-sia dan barangkali juga dosa. Lebih baik berdiam diri dan berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata. Kata orang berkata apabila hanya perlu sahaja.

Kita mungkin boleh berkata-kata, mungkin juga boleh untuk diam dan berfikir, tetapi terlalu sedikit antara kita yang mampu untuk menjadi pendengar yang bijak. Pendengar yang bijak bermakna mendengar setiap sesuatu permasalahan, maklumat, luahan, kata-kata sesiapa sahaja kepada mereka. Kemudian dengan secara bijak dan berhikmah kita mentafsir di sebalik setiap apa yang kita dengar untuk mencari jalan penyelesaiannya. Moga kita berjaya menjadi gologan ketiga ini. Berkata setelah bijak mendengar, mentafsir dan berfikir.

Teringat saya pada situasi yang berlaku pada suatu hari di kuliah. Sambil menghisap rokok, berkata seorang professor perubatan kepada semua penuntunt-penuntutnya…

"Salah faktor yang boleh meningkatkan kebarangkalian kanser pundi kencing ialah merokok."

Semua penuntut yang mendengar dan melihat gaya professor itu tersenyum-senyum melihat gaya selamba doktor ini. Cakap biarlah serupa bikin.
Continue Reading...
 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template