19 October 2009

Jejaka Melayu Terakhir



SIAPA itu jejaka melayu terakhir? Berbicara persoalaan ini saya lebih gemar menulis mengikut pandangan peribadi saya. Tidak semestinya betul boleh jadi salah. Semua lelaki golongan adam mahu dikatakan yang mereka ini macho, tampan, segak, gagah dan bergaya. Ya bukan.

Namun apakah sebenarnya kriteria yang dikatakan lelaki macho atau lelaki hebat ini? Adakah lelaki gagah dan macho ini adalah mereka yang bermuka jambu? Atau adakah mereka yang bertubuh sasa tegap handsome bergaya?

Setiap orang punya pandangan masing-masing. Terdapat sesetengah mereka yang menganggap lelaki yang macho ini terletak pada janggutnya. Usah terkejut ya. Ini kenyataan hasil daripada pembacaan saya. Bagi mereka sejauh mana keunikan janggut itu maka macholah lelaki itu.

Tidak kurang pula ada yang mengatakan lelaki gagah, macho dan hebat ini dinilai daripada ketampanan pada wajahnya. Sekali pandang teruja bergetar jiwa. Ada juga yang mengatakan bahawa jejaka macho ini adalah mereka yang hebat dan petah berbicara. Kalau berkata-kata nampak hebat belaka. Kata-katanya penuh berhikmah.

Lelaki gagah dan macho juga ada yang berpendapat adalah mereka yang relaks, cool dan tenang. Mudah tersenyum tidak masam mencuka selalu.

Tidak kurang juga ada di kalangan wanita yang menganggap lelaki hebat dan gagah ini adalah mereka yang koceknya penuh. Poket tebal. Gaji beribu-ribu ringgit. Pakai kereta besar. Berpangkat tinggi dan berjawatan besar, sentiasa berpakaian kemas dan berjaya dalam hidup. Semua ini dikatakan bagi mereka adalah lelaki yang macho.

Terdapat juga segelintir yang mengatakan bahawa lelaki macho dan gagah ini adalah mereka yang manis berbicara. Pandai memujuk. Kata-katanya boleh mencairkan golongan hawa yang mendengarnya.

Ada juga yang mengatakan bahawa ketampanan dan kehebatan seorang lelaki terletak pada kegigihan serta usahanya dlm menghadapi cabaran dan kesukaran hidup serta mampu 'mampu berdiri dgn sendirinya'..

Namun apa yang saya cuba ketengahkan di sini adalah. Apakah ketampanan dan cantik paras rupa itu kekal selamanya? Apakah jawatan tinggi dan penampilan luaran itu menjamin lelaki itu orang baik-baik. Saya tinggalkan persoalan ini untuk anda semua.

Akhir sekali terdapat suatu golongan yang menganggap ketampanan, kehebatan, kegagahan dan kemachoan lelaki itu terletak pada sejauhmna tinggi nilai ilmu pengetahuannya terutama ilmu agamanya. Sejauhamana pengaplikasian ilmu itu dalam kehidupan sehariannya. Sejauhmana keikhlasannya dan kejujurannya. Sesungguhnya itu yang kekal walaupun memang sukar untuk menilai seseorang itu hanya pda luaran.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!”

p/s: Sekali lagi saya ulangi. Segala hasil tulisan ini tidak semestinya benar, boleh jadi salah. Segala yang baik jadikan tauladan dan yang buruk usah dibuang tapi jadikanlah ia cerminan supaya boleh dijadikan panduan suatu masa nanti. Salam muhibbah dari saya. Jumpa lagi...
Continue Reading...

16 October 2009

Hidup perlu tekanan


KITA selalu merungut. Masalah yang menimpa seolah-olah tiada hentinya. Selepas satu selesai datang pula yang lain. Seolah-olah tidak pernah cukup. Serabut fikiran memikirkan jalan keluar ke arah penyelesaian. Kemudian datang pula yang lain.

Namun sedarkah kita bahawa itulah yang dinamakan kehidupan. Kehidupan tidak akan pernah lengkap jika tiada permasalahan dan tekanan di sampingnya.
"Begitu jugalah tuhan ciptakan dunia ini berwarna
warni. Cuba bayangkan kalau dunia ini hanya ada warna hitam dan putih. Sudah tentu bosan bukan. "

Pernah anda jumpa manusia yang tidak pernah punya masalah? Jawapannya sudah tentulah tidak. Setiap orang pasti punya masalah. Tidak kiralah masalah itu besar ataupun kecil. Tetapi yang membezakan adalah sejauh mana kita mengenal pasti masalah tersebut dan menyelesaikannya dengan penuh berkhemah dan bijaksana.

Bagi kebayakan kaum hawa andai tiba sahaja hari raya, aidilfitri dirasakan tidak meriah dan lengkap jika tidak ditukar langsir baru. Lain pula bagi si nenek tua di kampung setiap malam ramadhan pasti perlu dihidupkan pelita keliling rumah. Semua ini andai tidak dilksanakan adalah suatu masalah besar buat mereka. Penagih dadah kalau tercicir duit 50 sen akan dikais-kaislah tanah mencari ke mana hilangnya syiling tersebut. Pernah nampak bukan? Sesungguhnya, semua ini berbeza mengikut persepsi masing-masing.

Namun dalam kita tidak sedar, masalah dan tekanan itu sendiri perlu untuk setiap individu. Dengan adanya tekanan, kita dapat memacu diri kita ke arah yang lebih maju. Jika tiada tekanan kita akan sentiasa berada dalam zon yang selesa. Kita sentiasa berada pada takuk lama. Kita akan sentiasa berasa cukup dengan apa yang kita ada.

Sememangnya dari satu aspek kita disarankan supaya bersyukur dengan apa yang kita ada. Namun tidak sedarkah kita bahawa dengan adanya tekanan itu sendiri membuatkan kita sentiasa berusaha dengan lebih keras mengatasi tekanan tersebut. Barulah kita boleh menjadi golongan yang sentiasa berjaya.

Seorang penjual pisang goreng tepi jalan tidak salah untuk memiliki Toyota camry 2.4 andai mereka mampu. Semoga dengn aset yang mereka ada itu akan memberi tekanan positif buat mereka untuk bekerja dengan lebih keras lagi bagi menunaikan setiap tanggungan mereka. Ubah cara berfikir. Usah menganggp tekanan itu sebagai suatu bebanan. Tetapi anggaplah tekanan itu sebagai suatu batu loncatan positif untuk kita kita sentiasa berusaha sesuatu yang baru untuk mencapai kejayan yang lebih baik.

p/s: Manusia yang jarang memaksimumkan penggunaan kedua-dua belah otak mereka akan lebih mudah terkena simptom nyanyuk apabila tua kelak. Justeru, gunakanlah semaksimumkan mungkin kedua-dua belah otak kita sebaiknya.
Continue Reading...

14 October 2009

MEMBERI BUKAN MEMINTA


TANGAN kanan yang menghulur tangan kiri tidak nampak. Begitulah diibaratkan kita sebagai manusia memberi sesuatu kerana niat yang ikhlas. Hari ini kita hidup dalam suasana yang aman dan tenteram. Cuba bayangkan apa yang berlaku pada saudara sesama muslim di Padang Indonesia baru-baru ini. Tergerakkah kita untuk menghulurkan bantuan atau sekadar masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Kita sentiasa berada pada zon yang selesa. Keadaan di mana segala apa yang dikehendaki mampu dipenuhi dengan mudah. Segalanya lengkap. Mahu ke mana-mana sahaja pelbagai kemudahan sudah sedia ada. Alangkah beruntung bagi manusia yang bangun pagi terus sahaja teringatkan nasib-nasib yang menimpa saudara lain di seluruh dunia. Hati tidak akan tenteram andai nikmat yang ada tidak dikongsi bersama.


“Setiap muslim yang memberi pakaian kepada muslim yang tidak berpakaian¸
ALLAH akan memberikan pakaian syurga kepadanya. Setiap muslim yang memberi
muslim lain yang dalam kelaparan, ALLAH akan memberi buah syurga kepadanya. Dan
setiap muslim yang memberi minum kepada muslim lain yang dalam kehausan, ALLAH
akan memberikannya minuman dari ar-Rahiqul-Makhtum (Hadith Riwayah Abu
Daud)”

Setiap sesuatu pasti ada sebab dan akibat. Kalau benih baik yang ditanam pasti saja yang tumbuh juga tumbuhan yang hidup subur. Jarang sekali yang tumbuhnya lalang. Itu lumrah kehidupan. Setiap apa yang kita infak dan dihulur pasti ada balasannya. Kalau tidak sekarang mungkin juga di akhirat kelak.

Hati seringkali runsing, gundah gulana serba tidak menentu. Keselesaan yang dikecapi masih membuatkan manusia kadang-kadang tidak cukup. Lain pula bagi mereka yang tinggal di kampung terpencil serba kekurangan namun hidup dalam keadaan yang aman tenteram. Kemewahan, keselesaan dan harta benda tidak menjamin ketengan hati yang hakiki.

Cubalah belajar untuk memberi. Memberi pada mereka yang memerlukan. Usah terlalu banyak meminta. Jangan terlalu memanjakan diri. Ingat ya, memberi bukan semata-mata wang ringgit tetapi memberi apa jua yang dapat memberi manfaat pada orang lain. Sampaikanlah sedikit ilmu andai itu yang kita ada, kudrat tenaga, kepakaran dan kemahiran yang kita punya. Semua itu hanyalah pinjaman.


p/s: Tuhan hanya campakkan pinjaman itu kepada kita hambanya untuk sekejap cuma. Bila-bila masa boleh ditarik balik. Ia milik semua. Maka kongsikanlah bersama.
Continue Reading...

22 June 2009

Apa ada pada nama...



SEMAKIN jauh berjalan, semakin banyak kita melihat ragam dan karenah manusia. Telatah yang kadang-kadang pelik pun ada. Dewasa ini, manusia suka melakukan sesuatu hanya pada nama. Kalau melakukan sesuatu kalau boleh diketahui umum. Maaf ya, tidak semua begitu tetapi wujud segelintir dari golongan manusia yang begini. Berjumpa dengan sesiapa sahaja, sibuk menceritakan sumbangan dan kerja yang mereka lakukan.



Pendapat saya, tidak perlulah begitu. Sia-sia sahaja amal dan tindakan yang dilakukan ANDAI terdapat setitik rasa ingin menunjuk atau supaya diketahui orang. Bukan apa, kadang-kadang kita tidak sedar yang orang lain sedang sibuk memerli dan meluat dengan kita. Bukankah kita juga selalu mendengar pepatah yang berbunyi “kalau memberi, biarlah tangan kanan yang menghulur tapi tangan kiri tidak tahu”.


Tidak menjadi suatu kesalahan kalau melakukan sesuatu bukan kerana nama. Tetapi memang kerana niat kita ikhlas ingin membantu dan memperoleh sesuatu manfaat. Hati kecil saya selalu berkata, kalau ilmu dan pengetahuan yang sekadar sedikit cuma tidak perlulah hendak cakap yang lebih-lebih. Malu sedikit pada orang yang ilmunya mungkin jauh lebih hebat dari kita tetapi jarang mengeluarkan sesuatu kenyataan yang mungkin menzahirkan kejahilan kita.


Ingatlah, bukan kita seorang diri di atas muka bumi ini. Kita sering diperhati. Kata orang, baiklah diam sahaja kalau rasa tidak tahu, diam bukan bererti bodoh, tetapi jadilah diam-diam tapi yang berisi.


p/s: Sama-samalah kita ikhlaskan niat kita dalam melakukan setiap perkara. Sekecil-kecil perkara andai kena pada tempatnya sesuai pada cara, insyaALLAH akan ada hikmahnya kelak.


Continue Reading...

09 June 2009

Panas itu datang lagi...


Kehangatan luar masih terasa.

Peluh terus membasahi seluruh tubuh.

Bahang terik sang mentari terus memanahkan sinar cahaya.


Titisan keringat menitis galaknya,

Tiupan angin hadir membawa hawa yang panas,

Pancaran matahari membara memusingkan kepala.

Ah... aku nak lari,

Tapi mahu lari ke mana ya?

Di sini semuanya serupa,

Luar dan dalam tiada bedanya


Waktu begini memang sesuai memerap sahaja,

Tapi nyata itu tak bisa,

Kudrat perlu dikerah demi setitik ilmu.


Hari terus berganti dengan harapan semakin pantas,

Siang, senja, dinihari serupa sahaja,

Inilah yang dinamakan ujian hidup...


p/s: Kehangatan negara padang pasir ini benar-benar menguji. Apabila difikir-fikirkan sejuk sangat pun susah, panas sangat pun payah. Huh... itulah tandanya tuhan mahu menguji sejauhmana kita mampu menggunakan nikmat syukur yang sentiasa dikurniakan pada setiap hambanya. Ya ALLAH, berilah kekuatan pada hamba-MU ini.

Continue Reading...
 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template