10 April 2009

Siapa mahu ditanya?


SERING bertanya pada diri sendiri persoalan yang kekadang tidak punya jawapan. Mahu ditanya pada mereka tapi rasa malu. Elok dipendam manakan tahu suatu masa akan ketemu jawapannya. Andai soal hati yang menjadi persoalan tidak mengapa. Tapi, apa akan jadi kalau soal kehidupan perbalahan hak kemanusiaan yang menjadi tanda tanya. Kejam rasanya untuk terpaku diam tanpa ada rasa mahu meluah pada yang punya hak.


“Malu bertanya sesat jalan”. Ya, memang benar. Persoalaannya pada siapa patut ditanya. Bukan semua mampu memberi seperti mana yang diminta. Tidak semua bisa berkongsi apa yang ingin diberi. Ramai yang mampu menjadi pendengar setia, tapi sedikit cuma yang boleh menjadi pelerai kekusutan. Huh...Mungkin perlu belajar mencari mereka yang sentiasa tunduk dari mendongak menghulur dari menadah.


M.R Kopmeyer dalam bukunya yang berjudul 'Bagaimana mahu memenuhi impian anda’ pernah menulis satu perkataan ajaib untuk mencapai kejayaan di dunia iaitu "tanya". Katanya...anda akan dapat memperoleh kejayaan, kekayaan, kemewahan, kemasyhuran, kuasa, cinta kasih sayang dan apa sahaja seandainya anda pandai menguasai 5 huruf ajaib ini. Maka bertanyalah.
.


Suatu petang Mamat berjalan pusing kampung. Kutu malam merayap sudah menjadi tabiat. Tapi petang itu dia disuruh ibu ke rumah Pak Mail untuk menghantar jahitan. Maka, sampai di satu hujung persimpangan jalan, dia pun tidak tahu ke mana arah yang sepatutnya . Mujur ada seorang budak kecil lalu di situ, maka berlakulah perbualan berikut:


Mamat: Semekom dek..Boleh tumpang tanya.

Budak: Boleh je. Apa ya bang.

Mamat: Abang nak ke rumah Pak Mail. Dekat simpang depan tu, belok ke kanan atau kiri?

Budak: Oh, rumah Pak Mail. Saya pun tak pasti sangat la bang. Tapi, kalau tak silap saya la (sambil berfikir tangan di dagu)....erm......sama ada ke kanan ataupun...........................kiri.

Mamat: ???

Continue Reading...

02 April 2009

Power secawan NESCAFE


Paul Erdos, pakar matematik Hungary pernah berkata “Ahli matematik adalah jentera yang menukarkan kopi kepada teorem.”


TERUJA saya apabila mula membaca ungkapan di atas. Apa hebatnya kopi sehinggakan tokoh di atas mengeluarkan ungkapan sedemikian? Bukankah selama ini hanya keburukannya sahaja yang digembar gemburkan. Rasa tidak adil pula andai tidak mengkaji di sebalik kebaikannya. Kalau ada yang mahu ikut saya, mari kita cari. Ha, Kopi atau pun yang sejenis dengannya sepeti teh ataupun nescafe boleh membuatkan kita bekerja satu hari suntuk tanpa rasa mengantuk. Wow, hebatnya!


Suatu makanan ataupun minuman yang mengandungi kafein seperti nescafe akan membuatkan kita sentiasa alert dan kalau boleh berjaga sentiasa. Membuatkan kita fokus selalu menghilangkan rasa mengantuk. Maka itu bagi sesiapa selepas ini yang ingin bermusafir jauh terutama bagi pemandu yang memerlukan tumpuan tinggi, rajin-rajinlah mencubanya ya.



Charles Czeisler, Saintis saraf di Harvard Medical School berkata”Apabila suasana kerja berubah dari jadual kerja yang mengikut kitaran matahari (siang dan malam) kepada kerja dalaman (pejabat) mengikut aturan jam, manusia terpaksa ikut menyesuaikannya. Penggunaan kafein dalam makanan dan minuman ditambah pula dengan bantuan cahaya elektrik membuatkan manusia boleh bekerja hanya mengikut jadual yang ditetapkan jam tidak lagi terikat pada waktu siang atau kitaran tidur yang normal.”


Apa yang cuba disampaikan oleh saintis saraf tersebut. Tidak lain membuktikan bahawa dengan meminum nescafe membuatkan manusia terutama yang bekerja di dalam pejabat seakan-akan lupa bahawa masa telah bertukar dari siang ke malam dan berikutnya kerana tingginya kesan alertness yang ada pada kafein di samping kesannya pada tidur.


Pada sekitar 1980 an, Dietrich Mateschitz, warga Austria yang bekerja untuk Blendax, sebuah syarikat kosmetik Jerman seringkali terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh untuk mempromosikan produk jualannya. Berjaga malam dari Frankfurt ke Tokyo dan Beijing. Beliau mempunyai masalah jet-lag yang membuatkan hasil kerja beliau tidak berkualiti. Namun setelah sampai ke beberapa negara Asia beliau terkejut apabila mendapati kebanyakan pemandu teksinya sentiasa dengan secawan kopi. Apabila tiba di Bangkok, beliau cuba merasa minuman tersebut. Beliau teruja dengan kesannya dan kemudian, beliau mengasaskan minuman pembekal tenaga campuran kafein lantas mengeluarkan slogan berikut untuk produknya:


“Manusia akan dapati banyak perkara yang lebih baik untuk dilakukan daripada tidur. Sesungguhnya kafein memberikan kamu sayap untuk terbang.”

Dalam kita sibuk memperkatakan kehebatan nescafe ini, jangan sampai berlebihan pula ya. Sesungguhnya kita memang tidak boleh menidakkan bahawa nescafe ini juga sebenarnya banyak keburukan terutama kepada penghidap diabetes dan tekanan darah tinggi. Jangan terkejut kalau ianya juga membuatkan anda sentiasa ke tandas untuk membuang air kecil. Cukuplah sekadar bersederhana tidak lebih dari secawan sehari. Selamat mencuba...


Continue Reading...

30 March 2009

“Tak usah lah nak berlagak”


ORANG suka cakap berdentam dentum. Segala apa yang mereka lakukan kalau boleh satu dunia kasi tahu. Pukul canang dari hulu ke hilir tawaf satu kampung. Padahal apa yang yang mereka ada dan yang mereka lakukan itu bukannya apa sangat. Andai setiap orang diberi kesempatan ruang masa dan peluang, pasti sahaja bisa dilakukan. Apakah mereka tidak berfikir. Kalau mereka itu hebat sangat, ramai lagi yang lebih hebat.


Nabi pernah bersabda: Tidak akan masuk neraka bagi orang yang di dalam hatinya ada sebesar biji sawi keimanan dan tidak akan masuk syurga pula bagi mereka yang di dalam hatinya ada sebesar biji sawi rasa sombong dan takbur.(Riwayat Muslim & Abu Daud)

Saya tertarik untuk memberi pendapat berkenaan isu yang diketengahkan oleh sahabat saya dalam blognya. Klik sini untuk membaca blog tersebut. Rasa ketidakpuas hatiannya kepada pelajar perubatan yang belum pun menjadi doktor tapi sudah pandai-pandai meletakkan title DR itu di depan nama mereka.


Memang tidak dinafikan itu adalah doa. Moga dengan apa yang kita tulis dan yang kita gambarkan itu benar-benar tercapai suatu masa nanti. Tapi, apakah tidak cukup selama ini doa dari ibu bapa dan kawan-kawan yang memang mengenali siapa kita? Alangkah lebih baik kalau ianya sekadar tatapan peribadi sahaja. Tulis besar-besar kemudian ambil gambar kita berlab kot dengan stethoscope dan tampal di dinding bilik. Rasanya itu sudah lebih dari memadai. Tidak perlulah diwara-warakan kepada semua orang.


Oh, saya terlupa. Ya, sudah tentulah mereka ini berbangga. Bangga kerana orang yang ada DR ini selalunya dipandang tinggi orang sekeliling, khidmat diperlukan di mana-mana, kata-kata mereka didengari nampak macam pandai. Maaf, kalau ada yang kurang senang dengan kata-kata saya ini. Tidak lebih sekadar pandangan peribadi. Sama-samalah kita perbetulkan niat dan beringat bahawa bukan kita seorang yang hebat dan power di atas muka bumi ini.


Allah berfirman : Allah tiada menyukai orang yang sombong lagi meninggi diri.
( Surah Luqman: 18).

p/s: Sebutir mutiara yang indah dan cantik kalau dicampak di malam hari jauh terpencil pelusuk mana pun, tetap akan dikejar orang kerana tinggi nilainya di mata manusia.

Continue Reading...

26 March 2009

Jangan marah ya, nanti cepat tua


"Abu Said Al-Khudri berkata Rasulullah pernah bersabda: Awasilah kamu dari sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam. Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah ia duduk, andai sedang duduk hendaklah ia berbaring."


SALAM bahagia semua. Harapnya semua tersengih memanjang kalau boleh sampai ke telinga. Eh, ada ke orang yang boleh tersengih sampai ke telinga. Kalau hendak tahu, cubalah sendiri. Manalah tahu andalah orangnya. Tidak kah anda menjadi orang paling ajaib di dunia. Ada yang sedang marah-marah? Jangan marah-marah kawan-kawan. Kalau anda marah, saya nampak wajah anda tua sangat dan kalau yang memang sudah tua lagi-lagilah tua.


Pernah nampak muka orang apabila sedang marah? Buruk bukan. Saya di mesir ini apa lagi. Negara yang memanglah terkenal dengan penduduknya yang panas baran walaupun agak peramah. Mereka pantang diusik pasti sahaja berlengan. Tidak kira lelaki mahupun perempuan. Kalau di jalan raya pula, andai terdapat sedikit perlanggaran maka tercetuslah pergaduhan yang gamaknya macam nak berbunuh. Agaknya memang benarlah kajian yang menunjukkan bahawa orang Asia barat ini berhati panas dan mudah melenting marah.


Kita marah selalunya kerana ada sesuatu kehendak yang tidak tercapai. Kita betul-betul berkehendakkan yang satu itu, tetapi akhirnya tidak tercapai maka kita naik berang. Benar bukan? Tapi, sedarkah kita bahawa tuhan tidak jadikan sesuatu itu sekadar suka-suka. Sekadar sia-sia. Sama sekali tidak. Andai tuhan tidak kurniakan sekarang, mungkin esok. Kalau tidak esok mungkin lusa, tulat, bulan depan, tahun depan dan boleh jadi di akhirat sana.


Apabila berlaku sesuatu perkara yang membuatkan kita marah sakit hati, itu sebenarnya perkara biasa. Mana ada manusia yang tidak punya sifat marah. Cuba kalau barang yang kita betul-betul sayang tiba-tiba dirembat orang, mestilah kita marah. Tetapi kalau hendak marah pun agak-agaklah. Berpada-pada, pandai-pandailah kawal, tak usah melebih-lebih.


Suatu hari datang seorang lelaki lalu memaki hamun Saidina Abu Bakar dengan cacian yang keji. Tetapi, Abu Bakar dan Rasulullah yang berada di sebelah hanya berdiam diri. Selepas itu, Abu Bakar membalas balik makian lelaki tersebut. Sebaik sahaja Abu Bakar membalas, Rasulullah pun beredar pergi. Abu Bakar pelik dan hairan lalu mengejar Rasulullah dan bertanya.


AbuBakar: Wahai rasulullah, mengapa engkau beredar sedangkan ketika lelaki itu memakiku kau hanya berdiam diri?

Rasulullah: Sesungguhnya ketika dia memakimu dan engkau diam, segala cacian itu kembali kepadanya. Tetapi, tatkala engkau membalasnya, malaikat berlalu pergi dan syaitan pun datang. Sesungguhnya aku tidak mahu duduk bersama syaitan.


p/s: Mulai hari ini jadilah kita seorang yang pemaaf. Jangan marah-marah. Siapalah kita ini hendak marah-marah. Rezeki depan mata pun Allah yang kurniakan, ada hati hendak maki-maki orang lain. Kalau kita boleh gembira, kenapa mesti marah selalu.

Continue Reading...

25 March 2009

ADUHAI, LAJUNYA KALAU CAKAP...



TERGELAK sendiri apabila mengenangkan peristiwa itu. Bukannya apa, tetapi apabila melihat kawan-kawan kita yang kalau bercakap mak datuk punyalah laju. Pantas cepat macam bas ekspres. Puas kita peka kan telinga, barulah dapat faham.


Suatu hari itu saya cuba menelefon seseorang atas urusan. Kami pun membuat temujanji. Lantas apabila saya bertanyakan jam berapa temujanjinya, dia pun mengatakan ‘before’. Kemudian saya pun suruhlah si dia ini ulang lagi dan kata yang sama juga dia sebut. Sehinggalah akhirnya baru saya dapat menangkap kata-katanya. Nak tahu tidak apa yang dia cuba sebut? Rupa-rupanya dia hendak sebut ‘by four’.


Seorang pakar motivasi barat pernah mengutarakan pendapatnya bahawa:


“Kalau kita ingin membentuk komunikasi yang berkesan dengan sebutan yang betul, belajarlah membaca sekurang-kurangnya satu perenggan kata-kata atau apa sahaja artikel dengan sebutan dan bacaan mengikut tanda baca yang betul setiap hari.”


Kadang-kadang kita tidak perasan yang kita ini kalau cakap laju macam peluru. Maka itu cuba kita sesekali lihat bagaimana orang-orang besar kalau bertutur. Bagaimana cara Pak Lah kalau bercakap? Barrack Obama apabila berucap. Kata-kata mereka bukan sahaja berhikmah tetapi juga tersusun, kemas dan teratur. Satu persatu dan mudah difahami. Tahukah kita berapa banyak maklumat atau informasi yang tidak berjaya atau berkesan hanya kerana kegagalan kita dalam berkomunikasi.


"Kajian yang dijalankan oleh University of Pittsburgh’s Katz Business School terhadap 50000 pekerja, menunjukkan bahawa kemahiran berkomunikasi adalah salah satu daripada tiga faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan bekeja."


Kali ini saya bukannya mahu berbicara tentang cara komunikasi yang berkesan seperti eye contact, first impression atau yang lain-lainnya. Tapi, cukuplah untuk sekadar peringatan berkenaan setiap butiran kata yang keluar dari mulut kita. Ketenangan kita apabila bercakap melambangkan ketenangan kita yang sebenarnya.


p/s: Saya sebenarnya sedang mengingatkan diri sendiri yang kadang kala bercakap main hentam terabur laju macam keretapi.

Continue Reading...
 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template