22 December 2009

Sukar tidur?



RAMAI orang yang merungut kerana sukar untuk tidur. Telah puas mata cuba dipejamkan, namun masih tidak boleh terlelap juga. Kadang-kadang sehinggakan pening dibuatnya kepala kerana kegagalan untuk melelapkan mata. Apakah puncanya? Bagaimana langkah terbaik bagi mengatasi masalah ini?

Terdapat beberapa sebab kesukaran untuk tidur. Antaranya:

1) Tidur yang berlebihan pada waktu siang.
2) Minum minuman yang berkafein secara berlebihan.
3) Memakan makanan berat sebaik sahaja sebelum tidur.
4) Masalah harian sehingga terbawa-bawa ke tidur.
5) Gangguan luar seperti bunyi bising e.g dengkur.
6) Keadaan persekitaran seperti cuaca terlalu panas atau terlalu sejuk.

Beberapa langkah untuk mengatasinya:

1) Pastikan tidur pada waktu yang telah ditetapkan.
2) Jauhi minuman berkafein seperti kopi atau teh pada waktu malam.
3) Tetapkan waktu yang sesuai untuk bangun pagi.
4) Berlatih untuk tidur dengan teratur setiap malam.
5) Pastikan tempat tidur adalah selesa (tidak terlalu sejuk atau terlalu panas)
6) Membaca adalah lebih baik daripada menonton televisyen.
7) Masalah sukar untuk tidur adalah masalah yang kerapkali berlaku. Oleh itu, cuba tidur hanya jika benar-benar mengantuk.
8)Terdapat juga sesetengah yang mengambil ubat tidur seperti alprazolam, clonazepam, midazolam dan banyak lagi. Pastikan anda mendapat nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil ubat-ubat tersebut.

Semoga sedikit perkongsian ini dapat membantu kita semua. Salam muhibbah dari saya.
Continue Reading...

27 November 2009

Berkorban Apa Sahaja



Pagi yang hening kedengaran suara takbir berkumandang di angkasa. Mengejutkan saya dari tidur yang lena. Namun, sambutan aidul addha kali ini berbeza dari yang sebelumnya. Saya menyambutnya di tanah air tercinta, Malaysia. Apabila masuk melangkah ke dalam masjid menunaikan solat sunat aidil adha lalu mendengar khatib membacakan khutbah, hati ini tesentuh.

Tersentuh apabila mengenang bagaimana besar pengorbanan Nabi Ibrahim dan juga Nabi Ismail. Juga pengorbanan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam. Sanggup bergadai nyawa, tinggal harta benda dan sanak saudara. Merenung kembali pada diri, berasa malu kerana kadangkala tidak mampu untuk berjuang pada sesuatu yang mampu untuk membantu jalan agama.

Sesungguhnya sungguh besar nilai pengorbanan dalam kehidupan seorang manusia. Begitu tinggi nilai pengorbanan seorang ibu kepada anak. Pengorbanan seorang bapa kepada isteri juga kepada anak-anak. Membesar, mendidik, mengasuh sehingga dewasa namun langsung mereka tidak meminta sebarang balasan.

Kehendak dan harapan mereka daripada anak-anak apabila dewasa kelak tatkala sudah mampu hidup sendiri bukanlah wang ringgit dan harta benda. Tetapi setiap ibu bapa hanya mengharapkan kasih sayang insan yang bergelar anak. Andai pada waktu kecil dahulu si ibu dan bapa sanggup berkorban apa sahaja. Apalah salahnya sebagai anak kita mengorbankan sedikit ruang masa untuk menziarahi mereka pada hari yang mulia ini.

Setiap tahun kita menyambut hari raya aidil adha atau hari raya korban. Saban tahun jugalah, kita menunaikan ibadah koban ini. Berpuluh-puluh ekor lembu dan kambing tumbang di setiap pelosok kampung. Namun, sejauhmanakah kita memahami dan mengaplikasikan pengertian korban ini dalam kehidupan seharian kita.

Adakah selama ini ungkapan itu hanya meniti di bibir tanpa ada usaha untuk menterjemahkannya dalam kehidupan seharian. Belajarlah utuk berkorban pada sesiapa sahaja. Usah mengira budi yang pernah ditabur.


Berkoban bukan sahaja pada negara, agama dan ibu bapa. Kerana itu memang kewajipan. Tetapi cubalah untuk berkorban pada rakan taulan ataupun mungkin pada sesiapa sahaja yang tidak kita kenali. Yang penting kena pada cara, tidak salah di sisi agama kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Selamat berkorban...
Continue Reading...

11 November 2009

Siapa cepat dia dapat




Sikap bertangguh selalu mengundang rugi. Andai melakukan sesuatu perkara, gemar melafazkan kalimah ‘nanti’. Kadang-kadang bukan kerana rasa malas yang menebal. Tetapi, kerana kepentingan lain yang dirasakan perlu dilakukan segera.

Kalau suka bertangguh segala perkara tidak menjadi. Banyak perkara yang ingin diperoleh kalau dilakukan dengan bertangguh selalunya tidak dicapai dengan jayanya. Kata mudahnya kerja sekarang, sekarang juga kita lakukan. Usah kata nanti.

Dunia hari ini memerlukan manusia yang bukan sahaja bijak dalam menguruskan hal-hal seharian, pandai dalam bidang kerja mereka tetapi juga memerlukan manusia yang pantas menghidu peluang di depan mata.


Manusia sebegini tidak gemar membiarkan peluang di hadapan mata melepas begitu sahaja. Segala apa yang bermanfaat di depan mata kalau boleh digarap dengan sepantas mungkin.

Sebab itu cuba kita melihat bagaimana orang cina kalau berniaga. Mereka berani menaggung risiko walaupun kadang-kadang risiko itu cukup besar bagi mereka. Kerana apa? Bagi mereka peluang itu hanya datang sekali. Tiada yang kedua. Siapa yang menjadi kedua pasti rugi.

Tuhan juga menyarankan kepada kita sebagai umat manusia supaya menggunakan peluang hidup di dunia ini sebaik mungkin. Menggunakan peluang di sini bukan bermakna supaya kita berseronok dan berhibur dengan keindahan dunia. Tetapi, sebagai manusia yang mengerti dan memahami bahawa dunia ini hanyalah ladang untuk kita bercucuk tanam supaya hasilnya dapat kita tuai pada hari akhirat nanti kita seharusnya sedar akan tanggungjawab kita diciptakan di atas muka bumi ini.

Dunia ini hanya sementara. Akhirat jugalah yang kekal selama-lamanya. Itulah ayat-ayat yang selalu kita dengar tatkala khatib berkhutbah di hari Jumaat.

Dunia ini hanyalah diibaratkan sebuah pulau persinggahan untuk kita mencari bekalan perjalanan kita yang jauh.


Apabila dipanggil si nakhoda, kita sebagai anak kapal bersegeralah naik ke atas kapal bagi meneruskan perjalanan. Andailah kita leka akan keindahan pulau tersebut dan berlengah-lengah pasti sahaja kita akan ditinggalkan. Maka, matlamat asal dan utama perjalanan tadi pasti tidak dicapai.

Justeru, usahlah bertangguh dalam apa perkara pun. Jangan kata nanti, tiada kata tunggu dahulu. Bersegera dalam setiap tindakan pasti ada untungnya. Siapa cepat dia dapat, siapa lambat pasti melapas.
Continue Reading...

23 October 2009

Kuat makan tanda hati senang



RAMAI orang pantang sahaja nampak makanan mulalah selera mereka pun bertambah. Tidak kira makanan itu makanan berat ataupun ringan. Sedap ataupun tidak. Tambahan pula kalau aroma baunya yang menusuk hidung lagilah membangkitkan nafsu makan.

Namun wujud segelintir dari kalangan kita yang pelik akan selera makan mereka yang semakin hari semakin bertambah. Kuat makanlah senang cerita. Menurut kajian sains banyak faktor yang boleh mengakibatkan selera makan kita bertambah. Wujud segelintir kita yang selera makannya bertambah namun berat tidak juga bertambah-tambah malah boleh jadi berkurang.

Kajian juga menunjukkan bahawa terdapat juga sesetengah manusia yang selera makan mereka boleh berkurang dan pastinya berat mereka juga berkurang. Sesetengah mereka yang menghidap penyakit-penyakit kronik seperti sakit buah pinggang¸ kanser¸ AIDS dan sebagainya adalah contoh yang boleh mengakibatkan selera makan berkurang.

Namun apakah pula yang menyebabkan selera makan kita boleh bertambah? Pada pemerhatian saya kebanyakan manusia yang berada dalam kemurungan akan sentiasa berada dalam kesedihan¸ hati tidak tenteram¸ keluh kesah¸ fikiran barangkali berserabut. Maka sudah tentulah selera makan pun tiada. Sebab itulah kita selalu melihat mereka yang sedang berada masalah di tempat kerja atau keluarga segala urus diri mereka entah ke mana.


Hal ini berbeza pula bagi mereka yang hatinya senang. Segala apa yang mereka
mahu¸ mampu diperoleh dengan mudah. Hati senang¸ gembira dan bahagia. Lihat
sekeliling seakan mahu tersenyum sahaja. Serasa dunia ini indah belaka.

Selalunya orang begini jarang punya masalah yang besar-besar dan berat-berat. Mereka jarang berfikir sesuatu untuk berusaha menyelesaikan masalah berat yang dipikul. Orang sebegini selalunya akan mempunyai selera makan yang banyak. Kalau lalu sahaja di kedai makanan-makanan ringan pantas sahaja tangan mencapai snek-snek makanan ringan. Kalau malam pun begitu.

Kebanyakan mereka akan menghabiskan waktu malam mereka dengan menguyah tidak kira apa juga makanan sambil menonton televisyen atau barangkali di hadapan komputer dan tidak mustahil juga ketika sambil menelaah pelajaran.

Namun siapa pun kita. Dalam golongan manapun kita. Bersyukurlah kerana kita masih dikurniakan nikmat untuk menjamah dan menjamu selera segala macam makanan. Tiada rasanya atau sukar untuk kita melihat masyarakat di Malaysia yang mati kebuluran sepertimana yang berlaku di Darfur, Palestin dan negara sedang membangun lain.

Kita sebagai umat Islam sentiasalah perlu menjaga adab-adab ketika makan dan minum. Bukankah itu telah lama diajar kepada kita sewaktu kita kecil-kecil lagi. Makan dalam keadaan duduk¸ bacaan doa sebelum dan selepas makan. Perkara ini nampak ringan. Namun itulah yang selalu kita tinggalkan termasuklah saya. Kalau sekecil-kecil perkara ini pun tidak mampu kita jaga bagaimana untuk memikirkan perkara-perkara yang lebih besar.


Makan apabila lapar behenti sebelum kenyang

p/s: Sama-samalah kita saling mengingati. Salah silap harap dimohon maaf. Manusia tidak pernah lepas dari melakukan kesilapan. Jadilah kita manusia yang sesempurna mungkin walaupun manusia itu memang tiada yang sempurna.
Continue Reading...

19 October 2009

Jejaka Melayu Terakhir



SIAPA itu jejaka melayu terakhir? Berbicara persoalaan ini saya lebih gemar menulis mengikut pandangan peribadi saya. Tidak semestinya betul boleh jadi salah. Semua lelaki golongan adam mahu dikatakan yang mereka ini macho, tampan, segak, gagah dan bergaya. Ya bukan.

Namun apakah sebenarnya kriteria yang dikatakan lelaki macho atau lelaki hebat ini? Adakah lelaki gagah dan macho ini adalah mereka yang bermuka jambu? Atau adakah mereka yang bertubuh sasa tegap handsome bergaya?

Setiap orang punya pandangan masing-masing. Terdapat sesetengah mereka yang menganggap lelaki yang macho ini terletak pada janggutnya. Usah terkejut ya. Ini kenyataan hasil daripada pembacaan saya. Bagi mereka sejauh mana keunikan janggut itu maka macholah lelaki itu.

Tidak kurang pula ada yang mengatakan lelaki gagah, macho dan hebat ini dinilai daripada ketampanan pada wajahnya. Sekali pandang teruja bergetar jiwa. Ada juga yang mengatakan bahawa jejaka macho ini adalah mereka yang hebat dan petah berbicara. Kalau berkata-kata nampak hebat belaka. Kata-katanya penuh berhikmah.

Lelaki gagah dan macho juga ada yang berpendapat adalah mereka yang relaks, cool dan tenang. Mudah tersenyum tidak masam mencuka selalu.

Tidak kurang juga ada di kalangan wanita yang menganggap lelaki hebat dan gagah ini adalah mereka yang koceknya penuh. Poket tebal. Gaji beribu-ribu ringgit. Pakai kereta besar. Berpangkat tinggi dan berjawatan besar, sentiasa berpakaian kemas dan berjaya dalam hidup. Semua ini dikatakan bagi mereka adalah lelaki yang macho.

Terdapat juga segelintir yang mengatakan bahawa lelaki macho dan gagah ini adalah mereka yang manis berbicara. Pandai memujuk. Kata-katanya boleh mencairkan golongan hawa yang mendengarnya.

Ada juga yang mengatakan bahawa ketampanan dan kehebatan seorang lelaki terletak pada kegigihan serta usahanya dlm menghadapi cabaran dan kesukaran hidup serta mampu 'mampu berdiri dgn sendirinya'..

Namun apa yang saya cuba ketengahkan di sini adalah. Apakah ketampanan dan cantik paras rupa itu kekal selamanya? Apakah jawatan tinggi dan penampilan luaran itu menjamin lelaki itu orang baik-baik. Saya tinggalkan persoalan ini untuk anda semua.

Akhir sekali terdapat suatu golongan yang menganggap ketampanan, kehebatan, kegagahan dan kemachoan lelaki itu terletak pada sejauhmna tinggi nilai ilmu pengetahuannya terutama ilmu agamanya. Sejauhamana pengaplikasian ilmu itu dalam kehidupan sehariannya. Sejauhmana keikhlasannya dan kejujurannya. Sesungguhnya itu yang kekal walaupun memang sukar untuk menilai seseorang itu hanya pda luaran.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!”

p/s: Sekali lagi saya ulangi. Segala hasil tulisan ini tidak semestinya benar, boleh jadi salah. Segala yang baik jadikan tauladan dan yang buruk usah dibuang tapi jadikanlah ia cerminan supaya boleh dijadikan panduan suatu masa nanti. Salam muhibbah dari saya. Jumpa lagi...
Continue Reading...
 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template