14 April 2010

"Saya nak jadi baik"

SYABAS dan tahniah buat anda, andai hari ini anda berjaya beroleh kejayaan yang paling besar dalam hidup. Namun bagi yang menempuh kesukaran atau kepahitan, usah mengeluh jangan lekas dan cepat menyalahkan takdir menuding jari pada sesiapa. Sesungguhnya itu sudah aturanNYA. Tiada apa yang boleh kita lakukan. Perkara yang sudah, tetap berlalu. Masa mendatang masih ada, banyak lagi liku-liku hidup yang perlu kita tempuhi.

Ramai orang merasakan bahawa diri mereka bagaikan tidak berguna di dunia ini. Mereka beranggapan kehadiran mereka tidak disedari, seolah-olah mereka tidak diperlukan. Mereka fikir mereka tak punya masa depan kerana tidak pernah punya perancangan. Sudah mencuba banyak kali untuk menjadi yang terbaik, tetapi pada setiap cubaan itu pasti ada halangannya maka sudahnya jatuh tersungkur. Ada juga yang beranggapan masih adakah ruang waktu untuk mereka berubah ke arah yang lebih baik?

Manusia tiada yang sempurna. Kita hanya mampu berusaha untuk menjadi seorang insan yang lengkap fizikal, jasmani dan rohani. Bagaimana menuju ke arah itu? Semuanya terletak di bahu kita sendiri. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk mengubah jalan hidup kita. Pilihan ada di tangan masing-masing.

Sesungguhnya masih belum terlambat untuk kita berubah. Kalau pintu taubat pun masih terbuka sehinggalah sampainya saat dan detik beberapa ketika sebelum kita dicabut nyawa. Inikan pula untuk kita berubah dari keadaan yang kita rasakan kurang baik kepada seseorang yang dapat menyumbang sesuatu kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Andai sebelum ini kita merasakan bahawa kita telah banyak mempersiakan masa muda dengan aktiviti yang tidak berfaedah dan tidak mendatangkan hasil. Kita menyesal kerana tidak menggunakan masa remaja kita dengan sesempurna mungkin. Tetapi, sesungguhnya perjalanan hidup kita masih jauh. Adakah kita merasakan sekali kita tersilap, kita akan terus melakukan dan mengulangi kesilapan yang serupa?

Usah berfikiran begitu. Sekali kita tersilap bukan bermakna kita akan sentiasa berada dalam zon yang silap. Anggaplah kegagalan dan kesilapan yang kita lakukan sebelum ini sebagai seribu satu anak tangga atau pun selekoh yang perlu kita hadapi sebelum sampai ke destinasi yang sebenarnya.

Ingatlah. Tiada istilah ‘saya sudah terlewat’. Masa tidak boleh diundur. Jarum waktu tidak akan berundur ke belakang. Ia akan terus meninggalkan kita. Mulakanlah dari hari ini. Nasib kita 10 tahun atau barangkali 20 tahun akan datang ditentukan oleh langkah yang kita ambil pada hari ini.

Usah lekas berputus asa. Tuhan tidak suka hambanya yang mudah berputus asa apalagi yang cepat mengalah. Kita memang diciptakan secara fitrahnya cantik, indah dan sebaik-baik kejadian, maka kembalikanlah diri kita ke arah itu. Kalau orang lain boleh jadi baik kenapa tidak kita...

0 comments:

 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template