19 April 2010

Bukan aib kalau mencuba




HARI ini saya berbangga kerana ada anak melayu yang mampu dan berjaya menawan puncak Everest. Ada juga anak melayu yang mampu meredah lautan mengelilingi dunia. Namun kita bagaimana? Adakah kita berbangga kerana menjadi rakyat Malaysia yang punya rakyat sedemikian rupa sedangkan diri kita sendiri tiada apa-apa sumbangan pada nama negara.

Setiap daripada kita punya kelebihan. Tuhan itu maha adil. Tidak bermakna mereka yang berjaya dalam pelajaran akan senang dan dikategorikan sebagai insan yang berjaya. Itu tidak adil. Berapa ramai mereka yang berjaya dalam akademik tetapi sahsiah dan kehidupan mereka sebenarnya gagal. Berjaya atau gagal teletak pada sejauhmana kesungguhan dan keberanian kita untuk mencapai sesuatu yang diimpikan. Bukan apa, kadang-kadang dalam kita hidup ini, terdapat mereka yang sibuk memperlekehkan sesuatu yang kawan mereka lakukan sedangkan mereka hanya berpeluk tubuh tidak melakukan sesuatu.

Justeru bagaimana mahu mencari kelebihan yang ada pada diri kita? Jawapannya sudah tentulah kita harus berani mencuba. Berani untuk gagal. Hanya orang yang berani untuk gagal adalah mereka yang akan mencapai kejayaan suatu masa nanti. Kalau kita sentiasa berada dalam zon ketakutan untuk menghadapi sesuatu kegagalan, selagi itulah kita tidak akan mencapai kejayaan.

Thomas Edison telah mencuba 10 ribu kali untuk memastikan mentolnya menyala. Benjamin Franklin pula mengatakan bahawa beliau tidak pernah gagal dalam hidupnya. Bagi beliau apabila sesuatu yang diusahakan itu tidak tercapai, itu bukan gagal namanya tetapi itu adalah 100 jalan untuk mencapai sesuatu kejayaan.

Di sini saya bawakan perumpamaan yang mudah. Kita sering melihat rancangan-rancangan hiburan di kaca tevisyen. Barangkali rancangan yang memaparkan temuduga untuk mereka yang berminat untuk menjadi artis seperti mentor, akademi fantasia dan sebagainya. Apa yang peliknya di sini. Kalau kita pandang dari sudut positifnya untuk mencapai sesuatu kejayaan dalam hidup. Setiap daripada peserta itu pastinya telah punya target dan memasang impian yang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Mereka barangkali telah memasang cita-cita dan angan-angan andai mereka berjaya dalam sesi temuduga itu, mereka akan jadi senang boleh membantu keluarga, rakan-rakan dan sebagainya.

Namun yang menjadi budaya kita sebagai orang melayu ini adalah kita mudah berasa tidak senang hati melihat kejayaan orang lain. Mulut kita lebih ringan untuk mengutuk mereka yang terlibat dalam usaha baik ini. Kononnya sudah tiada bakat, buat apa mencuba, buat malu saja. Kalau peserta bertindak sumbang sedikit, habis digelakkan orang tu. Bukan gelak sahaja barangkali tergolek-golek lagi. Haih. Macamlah orang yang menggelakkan terbahak-bahak itu pandai dan terror sangat menyanyi.

Kita ini hidup usah terlalu mencari kesilapan dan kesalahan orang lain. Apa ingat kita ini dah bagus sangat. Sekurang-kurangnya mereka yang menjadi peserta itu berani untuk tampil ke hadapan menyerlahkan bakat mereka. Mungkin kali ini mereka tidak berjaya. Namun dengan sikap mereka yang berani mencuba ini akan memastikan mereka akan berjaya kelak walaupun bukan dalam bidang yang mereka cuba itu, tetapi juga bidang-bidang lain.

Tapi kita yang menggelakkan bagaimana? Cuma sekadar mencuba pun tidak mampu. Kerana apa? Hanya kerana sikap malu untuk menyerlahkan kebolehan yang mungkin selama ini telah ada dalam diri, tapi tidak pernah kita sedar.

Justeru, mulai hari ini. Berhentilah kita dari sibuk mempertikaikan kerja dan hal orang lain. Macam lah kita ini bagus dan hebat sangat. Kalau setakat nak memberi nasihat dan teguran dengan cara berhikmah itu tidak mengapa. Memang disuruh dan disarankan lagi. Tapi ini bagi yang menegur dengan cara yang menyakitkan hati sesetengah pihak malah memalukan lagi.

Jadilah kita manusia yang berani. Manusia yang bijak dalam menegur juga manusia yang bijak apabila ditegur. Kita semua pandai dan hebat. Jangan sibuk melihat cantiknya hidung orang lain sedang hidung sendiri lagi menawan tidak pernah kita sedar dan lihat.. sekian.
Continue Reading...

14 April 2010

"Saya nak jadi baik"

SYABAS dan tahniah buat anda, andai hari ini anda berjaya beroleh kejayaan yang paling besar dalam hidup. Namun bagi yang menempuh kesukaran atau kepahitan, usah mengeluh jangan lekas dan cepat menyalahkan takdir menuding jari pada sesiapa. Sesungguhnya itu sudah aturanNYA. Tiada apa yang boleh kita lakukan. Perkara yang sudah, tetap berlalu. Masa mendatang masih ada, banyak lagi liku-liku hidup yang perlu kita tempuhi.

Ramai orang merasakan bahawa diri mereka bagaikan tidak berguna di dunia ini. Mereka beranggapan kehadiran mereka tidak disedari, seolah-olah mereka tidak diperlukan. Mereka fikir mereka tak punya masa depan kerana tidak pernah punya perancangan. Sudah mencuba banyak kali untuk menjadi yang terbaik, tetapi pada setiap cubaan itu pasti ada halangannya maka sudahnya jatuh tersungkur. Ada juga yang beranggapan masih adakah ruang waktu untuk mereka berubah ke arah yang lebih baik?

Manusia tiada yang sempurna. Kita hanya mampu berusaha untuk menjadi seorang insan yang lengkap fizikal, jasmani dan rohani. Bagaimana menuju ke arah itu? Semuanya terletak di bahu kita sendiri. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk mengubah jalan hidup kita. Pilihan ada di tangan masing-masing.

Sesungguhnya masih belum terlambat untuk kita berubah. Kalau pintu taubat pun masih terbuka sehinggalah sampainya saat dan detik beberapa ketika sebelum kita dicabut nyawa. Inikan pula untuk kita berubah dari keadaan yang kita rasakan kurang baik kepada seseorang yang dapat menyumbang sesuatu kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Andai sebelum ini kita merasakan bahawa kita telah banyak mempersiakan masa muda dengan aktiviti yang tidak berfaedah dan tidak mendatangkan hasil. Kita menyesal kerana tidak menggunakan masa remaja kita dengan sesempurna mungkin. Tetapi, sesungguhnya perjalanan hidup kita masih jauh. Adakah kita merasakan sekali kita tersilap, kita akan terus melakukan dan mengulangi kesilapan yang serupa?

Usah berfikiran begitu. Sekali kita tersilap bukan bermakna kita akan sentiasa berada dalam zon yang silap. Anggaplah kegagalan dan kesilapan yang kita lakukan sebelum ini sebagai seribu satu anak tangga atau pun selekoh yang perlu kita hadapi sebelum sampai ke destinasi yang sebenarnya.

Ingatlah. Tiada istilah ‘saya sudah terlewat’. Masa tidak boleh diundur. Jarum waktu tidak akan berundur ke belakang. Ia akan terus meninggalkan kita. Mulakanlah dari hari ini. Nasib kita 10 tahun atau barangkali 20 tahun akan datang ditentukan oleh langkah yang kita ambil pada hari ini.

Usah lekas berputus asa. Tuhan tidak suka hambanya yang mudah berputus asa apalagi yang cepat mengalah. Kita memang diciptakan secara fitrahnya cantik, indah dan sebaik-baik kejadian, maka kembalikanlah diri kita ke arah itu. Kalau orang lain boleh jadi baik kenapa tidak kita...
Continue Reading...

04 April 2010

Pesan Ibu




SELAMAT berehat buat anda yang sedang berehat atau barangkali bersantai bersama kawan-kawan tidak kira di mana jua anda berada. Buat anda yang sedang beristirehat bersama keluarga, gunakanlah kesempatan dan peluang yang anda ada untuk menikmati kasih sayang dari ahli keluarga selagimana anda masih punya mereka.

Sebaik sahaja menghubungi ibu di tanah air, tiba-tiba sahaja tergerak hati ini untuk menulis sesuatu yang tidak pernah dirasakan terlintas di fikiran. Sememangnya, setiap daripada kita pastinya telah puas menerima pesanan daripada ibu dan bapa dari kecil hinggalah dewasa. Saya yakin setiap daripada pesanan mereka pastinya sesuatu yang berguna dan berharga untuk kita. Walaupun kadang-kadang di kala pesanan itu disampaikan mungkin kita tidak pernah ambil endah, tetapi apabila dewasa ini barulah kita sedar betapa bernilai pesanan mereka.

Tiada ibu mahupun ayah yang inginkan anaknya gagal dalam hidup. Semua ibu mahukan anaknya berjaya. Bukan sahaja dalam pelajaran, tetapi yang lebih penting berjaya dalam hidup di dunia dan akhirat. Teringat saya pada pesanan-pesanan ibu sewaktu saya kecil sehingalah sekarang. Pesan ibu…..

*************************************************************************************

Setiap pagi, ibu akan menghantarku ke sekolah. Kemudian melihat dari jauh anaknya melintas jalan lalu memasuki pagar sekolah. Sebaik tangan dihulur dan kukucup tangan hangat ibu dikala itu juga dia mengucup dahiku dengan pesanan yang tak pernah putus. ‘abang adik belajar rajin-rajin ya’. Itulah pesanan ibu buatku dan juga adik yang pergi ke sekolah bersama-sama setiap hari. Berbekalkan pesanan itu dan juga bekalan makan yang tidak pernah putus ibu bawakan setiap hari, aku menuntut ilmu dari tahun satu sehingga tahun 6. Pulang dari sekolah ibu sudah menunggu. Walau panas terik ibu tetap berada di situ. Hujan lebat juga tidak pernah diendahkan. Dia tidak pernah lupa akan temujanjinya untuk menjemputku pulang dari sekolah. Ibu, sungguh besar pengorbananmu.

Setelah tamat sekolah rendah, aku mula hidup berdikari menetap di asrama. Di sana baru aku mengerti betapa aku memerlukan ibu dan ayah dalam hidup ini. Aku tidak boleh hidup sendirian. Apabila mereka ada di hadapan mata, selalu sahaja aku memungkiri kata-katanya. Dua hari sekali pasti aku akan menghubungi ibu dan ayah. Cukup sekadar bertanya khabar. Bagiku itu sudah lebih daripada cukup. Setiap kali itulah ibu tak akan pernah lepas berpesan buat diriku. ‘abang adik belajar rajin-rajin ya’. Aku sudah hafal skrip itu. Aku mengerti betapa besar harapan ibu buat diri ini.

Alhamdulillah sebaik sahaja selesai pengajian menengah rendah, aku menyambung pengajian ke sekolah berasrama penuh di Selangor. Di sana aku diterap dan dididik dengan ilmu agama yang sememangnya cukup berat untuk aku terima pada awalnya. Namun, sedikit demi sedikit aku mula dapat menerimanya dengan hati yang terbuka. Aku berasa tenang sepanjang di sana. Barulah aku mengerti bahawa inilah sebenarnya tempat yang akan menjadikan aku seorang insan muslim yang berjaya. Di sana ibu berpesan lagi. ’Abang adik belajar rajin-rajin ya’. Setiap kali menghubunginya memang itulah yang ibu ungkapkan di akhir perbualan kami. Ibu, maafkan diri ini andai aku sering lupa akan pesanmu.

Syukur tidak terhingga, setelah tamat pengajian sekolah, tuhan turunkan rezeki dan nikmat yang tidak pernah kusangka. Peluang yang tidak pernah kufikir selama ini. Terima kasih ALLAH. Di kala aku leka dan lalai dari segala tuntuanMu, kau masih beri peluang untuk diri ini. Tanggal 6 Oktober 2004, aku menjejakkan kaki di bumi para anbia’. Bumi yang melahirkan begitu ramai ulamak dan cendekiawan terkenal seantero dunia. Bukan sahaja dalam bidang keagamaan tetapi juga dalam bidang-bidang lain. Sebelum berpisah, ibu masih lagi berpesan buatku ’abang adik belajar rajin-rajin ya’. Tapi kali ini ditambah ‘jangan lupa mama ya’. Linangan air mata membasahi pipi kami sewaktu saat perpisahan itu.

Kini sudah hampir 6 tahun berlalu. Tinggal beberapa ketika lagi aku akan meninggalkan tanah ini. Adakah pesanan ibu masih aku turuti? Apakah aku berjaya melaksananakan semua tanggungjawab yang diletakkan di bahu ini? Apakah ada lagi pesanan ibu seperti itu buatku? Saat pengajianku sudah di penghujung. Maka, apakah pula pesanan ibu buat diriku selepas ini???


*************************************************************************************

p/s: Sesungguhnya pesanan ibu amat berharga buat si anak. Tidak kira apa jua yang mereka sampaikan, pastinya di sana terselit hikmah yang terbaik buat diri kita. Semua ibu mahukan yang terbaik buat anak mereka. Hargailah mereka selagi mereka masih ada.
Continue Reading...

28 March 2010

'relax' dulu...




KERJA yang menimbun dan bebanan tugas yang kunjung tiba membuatkan manusia sibuk sentiasa. Seakan-akan tidak punya masa untuk berehat. Bermula dari pagi hinggalah kita memejamkan mata, masa dihabiskan dengan menyiapkan tugasan harian.

Namun, sedarkah kita bahawa berehat sebentar itu adalah lebih baik daripada terus menerus dengan kesibukan harian? Tahukah kita bahawa berehat satu minit itu lebih penting daripada satu jam kerja yang meletihkan, membosankan dan penuh paksaan?


Seorang cendekiawan barat pernah berkata: "Perkara yang paling penting dalam satu hari manusia adalah waktu rehat yang mereka peruntukkan antara dua tarikan nafas yang panjang".


Ambillah masa untuk berehat walaupun hanya setengah jam untuk memberikan rehat pada anggota badan. Kalau tidak pada fizikal pun, minda juga perlukan rehat. Kadang-kadang apabila mental kita penat, natijahnya segala kerja yang kita lakukan serba tidak menjadi. Kita merasakan kita sudah melakukan yang terbaik tetapi tanpa disedari bahawa otak kita sebenarnya telah terlalu penat bekerja seharian.

Berehatlah sebentar untuk tidur yang cukup. Tidur yang cukup amat penting untuk kesihatan. Kualiti kerja dan kehidupan akan terjejas seandainya jadual rutin harian tidak sempurna.

Menurut kajian yang dijalankan oleh David F. Dinges, Ph.D. Pakar Psikologi University of Pennsylvania School of Medicine "Keadaan mudah marah, kemurungan (moodiness) dan stress adalah antara tanda-tanda awal yang dialami oleh mereka yang tidak mendapat tidur yang cukup".


Keperluan untuk tidur juga berbeza. Puratanya manusia dewasa memerlukan tidur selama 8 jam untuk tidur yang cukup. Sesetengahnya pula hanya memerlukan sekurang-kurangnya 6 jam untuk menjalankan tugasan harian secara maksimum tanpa sebarang rasa mengantuk. Justeru, carilah kesesuaian di sana. Apa yang penting, usah kerana tidur yang tidak cukup itu menjadi penyebab rendahnya mutu kerja harian kita.

Ayuh. Kita cemerlang dan hebatkan diri dengan tidur dan rehat. Usah ada yang salah anggap. Bukannya terus terusan berehat. Tetapi cukuplah sekadar yang perlu.

p/s: Kalau mesin yang seharian digunakan pun boleh rosak apa lagi tubuh badan kita. Gunakanlah segala nikmat kurniaan yang diberikan sebaik mungkin. Ianya hanya diberi sekali tiada yang kedua.
Continue Reading...

21 March 2010

Kata TIDAK pada jerawat




REMAJA sering mempersoalkan mengapa kulit mereka sering dipenuhi dengan jarawat. Mula-mula sedikit tetapi lama kelamaan boleh menjadi kronik dan memenuhi segenap ruang wajah. Ada sesetengahnya pula yang menjadi fobia dengan perkataan ‘jerawat’ ini. Menurut mereka saham akan jatuh apabila kulit muka dipenuhi jerawat. Benarkah begitu?

Di sini saya ingin kongsikan serba ringkas beberapa tips atau langkah yang boleh diambil untuk merawat jerawat ini.

1)Pastikan muka anda dicuci sekali atau dua kali sehari. Namun harus diingat usah mencuci dan menggosok muka secara berlebihan. Mencuci dan menggosok muka yang kerap akan menyebabkan kulit sihat menjadi kering di samping radang pada kawasan kulit yang cenderung untuk dipenuhi jerawat.

2)Usah memicit atau menekan jerawat dengan kuku, pin atau sebagainya. Ini boleh menyebabkan jerawat tersebut merebak ke lapisan dalam bawah kulit lalu menambahkan inflammasi dan jangkitan ke sekeliling atau serata kulit wajah. Di samping itu, ianya juga boleh mengakibatkan parut atau scar sekiranya tidak dilakukan dengan cermat.

3)Sekiranya anda menggunakan toner, elakkan produk yang mengandungi kandungan alkohol yang tinggi. Kandungan alkohol yang tinggi boleh mengakibatkan kulit kering, kemerahan dan menambahkan kecacatan pada kulit.

4)Jauhkan tangan anda dari muka. Maksudnya kurangkan sentuhan antara tangan dan muka terutama tangan yang tidak dicuci bersih. Sejenis bacteria iaitu P. acne adalah bakteria penyebab jerawat. Ianya terdapat di serata kulit kita. Sentuhan yang kerap antara tangan dan muka akan menambahkan kebarangkalian bakteria ini merebak ke kulit muka.

5)Gunakan krim sapu atau losen sekiranya anda hanya mempunyai beberapa jerawat di muka. Contoh yang boleh digunakan seperti krim yang mengandungi salicylic acid atau Benzoyl peroxide. Gunakan ianya selama kira-kira satu ataupun dua bulan. Kebiasaannya anda akan dapati perubahan positif pada jerawat anda walaupun pada awal penggunaan ubat tersebut ianya kelihatan semakin teruk. Namun seandainya setelah tempoh tersebut tiada sebarang perubahan, cuba dapatkan produk lain.

6)Dapatkan khidmat nasihat pakar perubatan sekiranya jerawat semakin teruk walaupun anda telah mencuba segala langkah-langkah di atas. Doktor juga akan mencadangkan anda untuk mengambil pil antibiotic. Banyak antibiotic yang boleh kita ambil. Contohnya seperti Doxycycline, Erythromycin, Amoxicillin dan lain-lain lagi. Namun, pastikan anda mendapat khidmat nasihat daripada doktor sebelum mengambil produk ini memandangkan ianya mungkin punya kesan sampingan pada anda.

7)Harus sentiasa ingat bahawa kata kunci dalam rawatan untuk menghilangkan jerawat ini adalah berikan ia masa untuk bertindak. Tidak kira apa pun langkah yang kita ambil, jerawat tidak boleh hilang atau sembuh dengan sekelip mata atau sehari dua.

8)Akhir sekali, langkah-langkah di atas tidak lengkap sekiranya tidak disertai dengan suatu amalan yang cukup penting. Bagi saya amalan ini adalah langkah yang paling mujarab dan tidak boleh diketepi apalagi diabaikan. Sebagai seorang muslim pastikan kita sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk. Jangan anggap ianya perkara yang remeh kerana dengan berkat air wudhuk itu insyaALLAH kulit kita akan kelihatan sentiasa segar, lembut dan berseri. Kata orang sejuk mata memandang.

p/s: Semoga sedikit perkongsian ini dapat memberi manfaat bersama. Selamat mencuba.
Continue Reading...
 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template