01 May 2010

Apa sebab kita menangis?



Kenapa kita menangis? Ada ke antara kita yang sedang menangis sekarang? Kalau ada, berhentilah sebentar ya. Bacalah entri ini moga anda yang sedang menangis tu kembali tersenyum riang gembira senang hati meneruskan hidup ini.

Salah ke kalau kita ni menangis? Memang tak salah cik adik. Siapa kata menangis tu salah. Kalau ada yang kata menangis tu salah, memanglah orang yang cakap tu tak betul. Kalau dah nak menangis mana lah boleh tahan-tahan kan. Kadang-kadang ada orang tu, diri mereka memang diciptakan mudah menangis. Pantang tersentuh atau terasa hati, pasti saja menangis. Kalau yang itu, memang tuhan dah ciptakan kita macam tu, bersyukur aje lah.

Nak tahu tak abang, akak, adik-adik semua. Ramai orang menangis sebenarnya bersebab. Jarang kita jumpa orang yang tak pasal-pasal, tak ada sebab boleh menangis. Kalau ada yang macam itu, orang gila lah namanya.

Ada tu pula yang menangis sebab minta belas kasihan. Siapa yang selalu menangis macam ni? Kalau yang nangis macam ni. Ha itu lah kita masa budak-budak dulu. Dah lupa ke? Kalau kecil-kecil dulu masa pergi kedai-kedai atau pasar kita minta mainan dan jajan dengan mak ayah. Ingat lagi tak? Siap guling-guling atas lantai lagi. Ingat kan. Janganlah nak buat-buat lupa pula.

Tapi, kalau orang yang sedang bercinta pula menangisnya lain macam, pelik sedikit. Soal ni tentu akak-akak semua faham kan. Menangis minta dipujuk. Merajuk lah kalau bahasa orang-orang macam mereka ni. Kalau menangis yang ini memang payah memang parah. Tak ada siapa yang boleh menghentikan nangisnya. Tak ada ubat yang dapat merawat dan menyembuhkan, kalau bukan cik abangnya sendiri.

Walaubagaimanapun satu kenyataan yang tak dapat disangkal lagi, kebanyakan antara kita menangis kerana menghadapi situasi atau keadaan yang tak dapat dielakkan. Kehilangan orang yang dicintai, kegagalan, kesedihan, kesusahan, keperitan dalam menjalani liku-liku hidup, menangis mengenangkan dosa-dosa serta kesilapan masa lampau dan sebagainya.


Tapi, ingat ya semua. Hidup ni mana ada yang senang. Hatta kalau nak makan pun tak ada siapa yang boleh suapkan nasi tu ke mulut kita sendiri. Masa kecil-kecil dulu tak kira lah, memang mak yang suapkan kan. Ni saya cerita bila dah besar sudah dewasa. Nak makan pun kita kena suap sendiri, barulah makanan tu masuk ke mulut dan akhirnya kita kenyang. Macam tu jugalah kehidupan kita, tiada yang mudah tak ada yang senang.

Kadang-kadang tu kita boring dan tension kan. Setiap hari asyik menghadap kerja yang berlambak. Waktu kerja yang panjang pulak tu. Rasa macam nak menangis pun ada. Bila anda terasa lemah, hendak menangis. Betulkan kembali niat kita tu. Tanamkan kembali minat yang mendalam dalam setiap apa yang kita buat.

Kalau kita rasakan kita dah cukup terseksa dengan kesusahan dan kesibukan yang kita alami, fikirkanlah sejenak. Berapa ramai lagi manusia yang jauh lebih sibuk dari kita kat luar sana. Berapa ramai lagi yang susah sampai tak makan pun ada. Berapa ramai hari ini yang menganggur, tak ada kerja pun. Maka, bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Tuhan masih sayangkan kita sebab tu tuhan kurniakan kesibukan tu buat kita.

Ingat ya abang, akak, mak cik, pak cik, adik-adik semua. Menangis tak pernah salah. Dah nak menangis nak buat macam mana kan. Tapi, biarlah berpada-pada. Beringat-ingat..
Continue Reading...

Menangislah berpada-pada



HARI ini sudah 1 Mei. Sekejap saja masa berlalu kan. Tanpa kita sedar dan perasan masa begitu pantas dan cepat berputar. Namun, itu bagi mereka yang sibuk dengan urusan dan kerja harian. Bagi mereka yang setiap hari macam tak ada benda yang nak dibuat, lain pula ceritanya. Kerjanya melepak aje sana sini. Jadi, sudah tentu rasa lama semacam.

Tiba-tiba hari ni saya tergerak untuk menulis tentang air mata. Menangis lah bahasa kita-kita ni. Agak-agak dah berapa lama ya abang, akak, makcik, pakcik tak menangis? Hush, ada ke tanya soalan macam tu. Kenapa, tak boleh ke? Saja saya bertanya. Tak salah kan.

Mungkin ada munasabahnya soalan saya tu. Sebab ada antara kita ni yang dalam diam tak diam tak pernah pun menangis sepanjang hidupnya. Eh, biar betul? Ada juga orang yang macam ni? Orang macam ni mesti ada. Kat mana-mana pun pasti ada. Orang macam ni hatinya keras macam batu. Tak boleh dilentur. Kau buatlah sedih macam mana pun kat dia. Tak akan tersentuh hati punya, jauh sekali menangis.

Itu yang hatinya keras macam batu. Ada juga ni yang hatinya lembut macam jeli. Hehe. Saja saya bergurau. Tak kiralah apapun perumpamaannya, yang penting orang satu lagi ni hatinya memang lembut, cair mudah tersentuh.

Mereka ni kalau boleh setiap masa tu asyik nak menangis aje. Pantang diusik, mulalah air mata tu mengalir. Ha, orang yang macam ni pun ada. Tapi, biasanya nangis orang yang macam ni sekejap aje, lepas 10 minit reda lah tu.


Kadang-kadang seronok juga berkawan dengan orang yang macam ni. Senang kita nak sakat-sakat, nak usik-usik, senang kita ajuk-ajuk. Maaf ya kalau ada yang terasa hati. Bukankah usikan tu merapatkan ukhuwah mengeratkan persahabatan. Hidup ni boring kalau masam aje. Kan? Sekali-sekala perlukan usikan gurauan. Barulah yang masam jadi manis, yang pahit kelat jadi madu.

Tapi antara dua orang jenis manusia ni, ada yang berada di tengah-tengah. Ke kanan tidak ke kiri pun tak. Yang paling best atau yang paling bagus lah senang cerita. Orang macam ni adalah mereka yang sentiasa cool dan tenang. Hidupnya relaks dan santai. Menangis bila waktu perlu saja. Setiap halangan yang ada, dianggap seperti permainan dan warna warni hidup. Barulah hidup kita ni sentiasa ceria dan gembira. Ya tak?

Jadi, kita ini kategori yang macam mana? Kenalilah diri sendiri. Kita sendiri saja yang tahu. Nak menangis? Menangis lah sepuas-puasnya kalau itu yang anda inginkan. Siapa tahu dengan menangis tu boleh membuatkan anda gembira. Tapi yang penting, jangan sampai menangis anda tu menyusahkan orang lain, mengganggu kehidupan anda sendiri. Selamat bercuti..
Continue Reading...

22 April 2010

Antara yakin & percaya



TUHAN kurniakan kita akal untuk berfikir dan terus berfikir. Kehidupan yang menjanjikan seribu satu keindahan ini kalau tidak diperhatikan dan diselami degan betul kelak akan membawa rosak binasa. Sebab itulah setiap apa yang kita lakukan perlunya di sana suatu penelitian dan pemikiran yang benar-benar masak supaya tidak menyesal kemudian hari.

Setiap masa kita berhadapan dengan pelbagai ragam manusia. Kata-kata dan tingkah laku juga berbeza mengikut tahap pemikiran dan pergaulan mereka. Kadang-kadang dari perbualan dan bicara mulut sahaja kita sudah boleh menilai siapakah mereka ini. Namun, ianya tidak selalunya benar. Kebiasaannya begitu. Kerana tidak adil juga untuk kita menilai seseorang hanya pada kata-kata.

Apa yang saya cuba kongsi di sini adalah, usah mudah terpedaya dan percaya hanya pada kata-kata seseorang kalau belum benar terbukti sesuatu. Kadang-kadang kata-kata orang manis bicara tetapi apabila minta dilaksanakan tak tentu jadinya. Hatta saya yang menulis ini juga belum tentu anda boleh percaya kerana saya juga manusia biasa, banyak salah dan silap.


Kalau kita bertanya siapakah manusia yang paling dipercayai di dunia ini. Saya yakin kebanyakan daripada kita akan menjawab ayah dan ibu. Mengapa ya? Jawapannya sudah tentulah kerana kita telah bersama mereka sejak dari kecil lagi, suatu jangka masa yang bukannya singkat tetapi cukup lama. Ini bererti pengalaman merupakan suatu yang penting untuk dijadikan garis panduan dalam bertindak.

Justeru, untuk mempercayai seseorang dan setiap sesuatu bukannya mudah. Kita perlukan masa, ruang dan waktu. Kadang-kadang dengan melihat persekitaran, cara hidup dan melalui perbandingan barulah kita dapat menilai dengan tepat dan benar.


Sebab itu jugalah dalam perbicaraan ilmu ketuhanan bukan mudah untuk kita memaksa seseorang untuk percaya pada sesuatu, kerana apabila ianya melibatkan hal-hal yang berat seperti ini pastinya setiap seseorang itu akan berfikir berkali-kali barangkali bertahun lamanya sebelum melakukan setiap keputusan.

Akhir sekali, percayalah pada setiap tindakan yang kita lakukan. Setiap sesuatu yang tuhan kurniakan kepada kita hambanya tidak kira berupa kegembiraan, kebahagiaan atau mungkin juga kesedihan dan kedukaan pasti itu yang terbaik buat diri kita.

Barangkali dengan kesedihan dan kedukaan yang kita terima sekarang akan menjadikan kita sentiasa beringat bahawa langit tak selalunya cerah bersinar, adakalanya mendung dan hujan. Setiap kebahagiaan dan kegembiraan yang kita peroleh sekarang mungkin juga suatu ingatan buat kita supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan kerana sesungguhnya kita sentiasa diperhatikan. Andai tersilap sedikit, kegembiraan itu boleh jadi hilang.
Continue Reading...

19 April 2010

Bukan aib kalau mencuba




HARI ini saya berbangga kerana ada anak melayu yang mampu dan berjaya menawan puncak Everest. Ada juga anak melayu yang mampu meredah lautan mengelilingi dunia. Namun kita bagaimana? Adakah kita berbangga kerana menjadi rakyat Malaysia yang punya rakyat sedemikian rupa sedangkan diri kita sendiri tiada apa-apa sumbangan pada nama negara.

Setiap daripada kita punya kelebihan. Tuhan itu maha adil. Tidak bermakna mereka yang berjaya dalam pelajaran akan senang dan dikategorikan sebagai insan yang berjaya. Itu tidak adil. Berapa ramai mereka yang berjaya dalam akademik tetapi sahsiah dan kehidupan mereka sebenarnya gagal. Berjaya atau gagal teletak pada sejauhmana kesungguhan dan keberanian kita untuk mencapai sesuatu yang diimpikan. Bukan apa, kadang-kadang dalam kita hidup ini, terdapat mereka yang sibuk memperlekehkan sesuatu yang kawan mereka lakukan sedangkan mereka hanya berpeluk tubuh tidak melakukan sesuatu.

Justeru bagaimana mahu mencari kelebihan yang ada pada diri kita? Jawapannya sudah tentulah kita harus berani mencuba. Berani untuk gagal. Hanya orang yang berani untuk gagal adalah mereka yang akan mencapai kejayaan suatu masa nanti. Kalau kita sentiasa berada dalam zon ketakutan untuk menghadapi sesuatu kegagalan, selagi itulah kita tidak akan mencapai kejayaan.

Thomas Edison telah mencuba 10 ribu kali untuk memastikan mentolnya menyala. Benjamin Franklin pula mengatakan bahawa beliau tidak pernah gagal dalam hidupnya. Bagi beliau apabila sesuatu yang diusahakan itu tidak tercapai, itu bukan gagal namanya tetapi itu adalah 100 jalan untuk mencapai sesuatu kejayaan.

Di sini saya bawakan perumpamaan yang mudah. Kita sering melihat rancangan-rancangan hiburan di kaca tevisyen. Barangkali rancangan yang memaparkan temuduga untuk mereka yang berminat untuk menjadi artis seperti mentor, akademi fantasia dan sebagainya. Apa yang peliknya di sini. Kalau kita pandang dari sudut positifnya untuk mencapai sesuatu kejayaan dalam hidup. Setiap daripada peserta itu pastinya telah punya target dan memasang impian yang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Mereka barangkali telah memasang cita-cita dan angan-angan andai mereka berjaya dalam sesi temuduga itu, mereka akan jadi senang boleh membantu keluarga, rakan-rakan dan sebagainya.

Namun yang menjadi budaya kita sebagai orang melayu ini adalah kita mudah berasa tidak senang hati melihat kejayaan orang lain. Mulut kita lebih ringan untuk mengutuk mereka yang terlibat dalam usaha baik ini. Kononnya sudah tiada bakat, buat apa mencuba, buat malu saja. Kalau peserta bertindak sumbang sedikit, habis digelakkan orang tu. Bukan gelak sahaja barangkali tergolek-golek lagi. Haih. Macamlah orang yang menggelakkan terbahak-bahak itu pandai dan terror sangat menyanyi.

Kita ini hidup usah terlalu mencari kesilapan dan kesalahan orang lain. Apa ingat kita ini dah bagus sangat. Sekurang-kurangnya mereka yang menjadi peserta itu berani untuk tampil ke hadapan menyerlahkan bakat mereka. Mungkin kali ini mereka tidak berjaya. Namun dengan sikap mereka yang berani mencuba ini akan memastikan mereka akan berjaya kelak walaupun bukan dalam bidang yang mereka cuba itu, tetapi juga bidang-bidang lain.

Tapi kita yang menggelakkan bagaimana? Cuma sekadar mencuba pun tidak mampu. Kerana apa? Hanya kerana sikap malu untuk menyerlahkan kebolehan yang mungkin selama ini telah ada dalam diri, tapi tidak pernah kita sedar.

Justeru, mulai hari ini. Berhentilah kita dari sibuk mempertikaikan kerja dan hal orang lain. Macam lah kita ini bagus dan hebat sangat. Kalau setakat nak memberi nasihat dan teguran dengan cara berhikmah itu tidak mengapa. Memang disuruh dan disarankan lagi. Tapi ini bagi yang menegur dengan cara yang menyakitkan hati sesetengah pihak malah memalukan lagi.

Jadilah kita manusia yang berani. Manusia yang bijak dalam menegur juga manusia yang bijak apabila ditegur. Kita semua pandai dan hebat. Jangan sibuk melihat cantiknya hidung orang lain sedang hidung sendiri lagi menawan tidak pernah kita sedar dan lihat.. sekian.
Continue Reading...

14 April 2010

"Saya nak jadi baik"

SYABAS dan tahniah buat anda, andai hari ini anda berjaya beroleh kejayaan yang paling besar dalam hidup. Namun bagi yang menempuh kesukaran atau kepahitan, usah mengeluh jangan lekas dan cepat menyalahkan takdir menuding jari pada sesiapa. Sesungguhnya itu sudah aturanNYA. Tiada apa yang boleh kita lakukan. Perkara yang sudah, tetap berlalu. Masa mendatang masih ada, banyak lagi liku-liku hidup yang perlu kita tempuhi.

Ramai orang merasakan bahawa diri mereka bagaikan tidak berguna di dunia ini. Mereka beranggapan kehadiran mereka tidak disedari, seolah-olah mereka tidak diperlukan. Mereka fikir mereka tak punya masa depan kerana tidak pernah punya perancangan. Sudah mencuba banyak kali untuk menjadi yang terbaik, tetapi pada setiap cubaan itu pasti ada halangannya maka sudahnya jatuh tersungkur. Ada juga yang beranggapan masih adakah ruang waktu untuk mereka berubah ke arah yang lebih baik?

Manusia tiada yang sempurna. Kita hanya mampu berusaha untuk menjadi seorang insan yang lengkap fizikal, jasmani dan rohani. Bagaimana menuju ke arah itu? Semuanya terletak di bahu kita sendiri. Kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk mengubah jalan hidup kita. Pilihan ada di tangan masing-masing.

Sesungguhnya masih belum terlambat untuk kita berubah. Kalau pintu taubat pun masih terbuka sehinggalah sampainya saat dan detik beberapa ketika sebelum kita dicabut nyawa. Inikan pula untuk kita berubah dari keadaan yang kita rasakan kurang baik kepada seseorang yang dapat menyumbang sesuatu kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Andai sebelum ini kita merasakan bahawa kita telah banyak mempersiakan masa muda dengan aktiviti yang tidak berfaedah dan tidak mendatangkan hasil. Kita menyesal kerana tidak menggunakan masa remaja kita dengan sesempurna mungkin. Tetapi, sesungguhnya perjalanan hidup kita masih jauh. Adakah kita merasakan sekali kita tersilap, kita akan terus melakukan dan mengulangi kesilapan yang serupa?

Usah berfikiran begitu. Sekali kita tersilap bukan bermakna kita akan sentiasa berada dalam zon yang silap. Anggaplah kegagalan dan kesilapan yang kita lakukan sebelum ini sebagai seribu satu anak tangga atau pun selekoh yang perlu kita hadapi sebelum sampai ke destinasi yang sebenarnya.

Ingatlah. Tiada istilah ‘saya sudah terlewat’. Masa tidak boleh diundur. Jarum waktu tidak akan berundur ke belakang. Ia akan terus meninggalkan kita. Mulakanlah dari hari ini. Nasib kita 10 tahun atau barangkali 20 tahun akan datang ditentukan oleh langkah yang kita ambil pada hari ini.

Usah lekas berputus asa. Tuhan tidak suka hambanya yang mudah berputus asa apalagi yang cepat mengalah. Kita memang diciptakan secara fitrahnya cantik, indah dan sebaik-baik kejadian, maka kembalikanlah diri kita ke arah itu. Kalau orang lain boleh jadi baik kenapa tidak kita...
Continue Reading...
 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template