29 February 2008

Petikan akhbar berita harian(29feb08).."Program budayakan al-Quran liputi setiap lapisan masyarakat"


Oleh Azida Shaharuddin

AL-QURAN diturunkan bertujuan memandu umat Islam ke jalan yang benar, memberi petunjuk, rahmat, membawa berita gembira, menjadi penawar, peringatan dan cahaya yang menjadi pedoman serta panduan hidup.

Ini termasuk menerusi program Kelas Pengajian al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), penubuhan kelas pengajian al-Quran di masjid, ma'ahad tahfiz dan program yang terbaru di bawah Kementerian Pelajaran iaitu Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardhu Ain (J-QAF).

Program itu diperkenal dan dilaksanakan di Johor sejak 1996 sebagai satu usaha kerajaan negeri yang menitikberatkan pengisian rohani supaya masyarakat dapat mengikuti arus pembangunan fizikal dan mental, yang bukan sekadar suatu program pembacaan, tetapi meliputi aspek penghayatan al-Quran.

Pelaksanaannya yang sebelum ini hanya membabitkan seluruh jabatan kerajaan, masjid dan surau, kini sudah diperluaskan ke peringkat sektor swasta, malah turut diadakan di balai raya, asrama, rumah, klinik dan tadika terutama di luar bandar.

Kini program membudayakan al-Quran terus dipertingkatkan melalui program Membaca Tafsir al-Quran bermula 2006 bagi meningkatkan ilmu dan kefahaman masyarakat mengenai kandungan al-Quran. Pelaksanaannya kini menjadi amalan rutin apabila ia sekurang-kurangnya diadakan seminggu sekali pada setiap hujung minggu.

Malah, setiap tahun program terbabit turut dimeriahkan lagi dengan majlis tadarus al-Quran yang diadakan secara besar-besaran iaitu khatam al-Quran 30 juzuk diikuti bacaan tafsir dan tazkirah, membabitkan kakitangan kerajaan, Umno dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Menariknya, golongan yang terdiri daripada pelajar, remaja dan dewasa ini bukan diajar sebarangan guru, tetapi guru agama yang bertauliah. Sehingga Disember 2007, ada 2,087 guru al-Quran bertauliah merangkumi 1,438 guru wanita dan 649 guru lelaki. Secara keseluruhannya, program membudayakan al-Quran itu kini dijalankan di 2,486 lokasi antaranya di Batu Pahat membabitkan sebanyak 667 lokasi, diikuti Johor Bahru (561), Kluang (294) dan Muar (219).

Seorang pengajar dan pemilik Tadika Didik Al-Insan di Taman Sri Pulai Perdana, Jamiah Abu, 44, yang menjalankan program membudayakan al-Quran berkata, sebelum diiktiraf sebagai guru al-Quran bertauliah, beliau perlu melalui temuramah sebelum menjalani tiga kursus untuk layak mendapat sijil berkenaan.

Jamiah berkata, sebelum ini beliau hanya mengajar di rumah, namun apabila bilangan pelajarnya meningkat, beliau dan suami, Mohd Salleh Basiron, 48, membeli dua rumah berhampiran bagi meneruskan pengajaran al-Quran.

“Kini, tadika kami mempunyai 12 guru dan lebih 300 pelajar yang kebanyakannya penduduk sekitar.

“Pengajaran al-Quran ini dilakukan secara talaqqi iaitu seorang pelajar dan seorang guru yang setiapnya dalam mengambil masa sekurang-kurangnya 15 minit, dari jam 7.30 pagi hingga 6.30 petang dan 7.30 petang hingga 9 malam empat hari seminggu,” katanya.

Difahamkan, kira-kira 800 pelajar berjaya khatam al-Quran setiap tahun sekali gus dianggarkan 7,000 pelajar sudah khatam sejak program ini bermula, malah ketika ini kira-kira 63,374 kanak-kanak, remaja dan dewasa sedang mengikuti kelas pengajian al-Quran di negeri Johor.

Setiap kali khatam, pelajar diberi sijil khatam al-Quran oleh Jabatan Agama Islam Johor dan seterusnya diadakan majlis peringkat mukim.

Seorang guru sekolah rendah Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 1, Aisah Tahoid, 48, berkata beliau menghantar anak perempuannya, Nur Syafiqah Aisyah Jumaat, 9, mengaji al-Quran di Tadika Didik al-Insan kerana mahu anaknya mahir membaca kitab itu lebih-lebih lagi melalui didikan guru bertauliah.

“Dulu, ketika diajar membaca al-Quran di kampung, tiada penekanan tajwid dan mahraj (sebutan betul).

“Kini, dengan guru bertauliah, pembacaan mereka lebih baik malah menjadi asas cukup untuk melengkapi amalan dan kehidupan mereka pada masa depan,” katanya.

Nur Syafiqah berkata, dalam sehari beliau mengambil masa kira-kira 15 minit menghabiskan hampir dua muka surat kitab berkenaan. “Kini, saya sudah masuk juzuk ke-12 dan berasa seronok kerana guru mengajar sehingga saya faham dan tidak garang,” katanya.

Faridah Nawi, 37, juga seorang guru, berkata beliau menghantar dua anaknya, Nur Amira Farahiyah Mohd Azmi, 11 dan Nur Afifah Farzana, 10, ke tadika berkenaan bagi menghayati kitab suci itu.

“Sebagai ibu bapa, sukar bagi kami untuk mengajar mereka di rumah kerana mereka tidak mahu ikut dan mendengar kata... Oleh itu, apabila dihantar ke sini, mereka lebih berdisiplin dan mudah menerima pengajaran,” katanya yang mengambil masa lima minit dari rumah ke tadika berkenaan dan menunggu sehingga anaknya selesai bacaan.

Nur Amira berkata, beliau ke tadika untuk membaca al-Quran setiap hari dan kini mencecah juzuk ke-22. Beliau yang bercita-cita menjadi doktor apabila dewasa berkata, beliau mahu khatam cepat bagi memperoleh sijil khatam al-Quran.

Pelajar, Mohd Aliff Syahmi Zufikri, 10, yang menuntut di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Pulai, berkata beliau aktif membabitkan diri dalam pertandingan azan dan nasyid. “Selepas khatam nanti, saya berniat memasuki pertandingan tarannum iaitu membaca al-Quran secara berlagu,” katanya yang kini sudah menghafal lima surah termasuk Surah al-Qariah.

Terbaru, program khas pengajian al-Quran juga diadakan pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan 130 guru al-Quran setiap DUN, hanya untuk mengajar di masjid dan surau, dengan matlamat mengimarahkan kedua-dua tempat ini. Malah, guru al-Quran juga perlu menghadiri kelas hanya sekali setiap minggu di daerah masing-masing di 39 lokasi merangkumi masjid, balai raya dan surau bagi memperbaiki bacaan, menjalani sesi soal jawab, muzakarah, tajwid dan talaqqii selaras mempertingkatkan kualiti mereka.

Masjid Jamek Tangkak, Tangkak kini turut dijadikan pusat pengembangan al-Quran antaranya melalui talaqqi dan taranum al-Quran, tajwid serta dan tahfiz al-Quran kepada orang ramai setiap hari.


0 comments:

 

Ketenangan hati

Bicara Penulis

Bicara Penulis

Hasil tulisan

Hasil tulisan

Berlewaran di Bumi Sahara Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template